UMT Terima 379 Pelajar Baharu Diploma Perikanan, Asasi STEM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima kemasukan 379 pelajar baharu Diploma Perikanan dan Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara fizikal bagi sesi 2022/2023.

Pengarah Pusat Asasi STEM UMT Profesor Madya Dr. Laili Che Rose berkata pendaftaran 286 pelajar Asasi STEM dan 93 pelajar Diploma Perikanan itu berlangsung semalam secara pandu lalu di Dewan Sultan Mizan di UMT dan perkarangan kolej kediaman.

“Pelajar hanya perlu mendaftar secara fizikal dan mengambil kunci bilik secara pandu lalu. Proses tersebut selesai tidak sampai dua minit bagi setiap pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya Asasi STEM merupakan program khusus bagi tujuan melahirkan lebih ramai pelapis saintis negara dengan modul pengajaran telah ditambah baik oleh universiti supaya ia selaras dengan pengiktirafan antarabangsa, sekali gus memudahkan pelajar Asasi UMT menyambung pengajian sama ada di dalam atau luar negara.

“Lebih banyak kepakaran dalam bidang STEM diperlukan untuk pembangunan sesebuah negara. Perkembangan teknologi dan digitalisasi dalam semua aspek kehidupan pada masa kini memerlukan negara mempersiapkan generasi pelapis yang berupaya menguasai bidang-bidang tersebut.

“Namun, lepasan pelajar STEM masih kurang atau semakin berkurangan. Pihak industri juga kekurangan pekerja yang berkemahiran STEM. Oleh itu, UMT menyahut cabaran untuk memperkasakan STEM ini melalui pelbagai aktiviti berasaskan sains dan teknologi di pelbagai peringkat termasuk sekolah rendah”, katanya.

Sumber : BERNAMA