KUALA NERUS, 9 November – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melancarkan pusat arkeologi bawah air pertama di Malaysia dengan penubuhan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Marin di Stesen Penyelidikan Alami Marin dan kampus induk.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghafar berkata, penubuhan tersebut berkait rapat dengan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya bawah air seperti peninggalan kapal karam ‘The Bidong Shipwreck’.
“Antara kelebihan Bidong adalah kewujudan khazanah sejarah tersebut yang telah dikaji sejak 2017, serta kedalaman dasar yang tidak melebihi 18 meter.
“Ini bermaksud kawasan ini boleh diterokai penyelam rekreasi, dengan adanya juga 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN (AUMIL) juga, ia amat bagus sebagai tempat latihan arkeologi.
“Pusat latihan ini turut melibatkan kerjasama pakar-pakar daripada negara ASEAN yang berkongsi dan bertukar pengetahuan serta pengalaman dalam menguruskan cabaran dalam perlindungan warisan budaya dan arkeologi bawah air,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi bersama negara jiran seperti Kemboja dan Thailand adalah penting bagi melihat bagaimana tamadun terdahulu berinteraksi dan berkembang di Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian AUMIL di Pulau Bidong, semalam.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri menyifatkan usaha kerjasama pihaknya dengan UMT dan Jabatan Warisan Negara adalah penting dalam menjayakan Seminar Pemuliharaan dan Perlindungan Warisan Budaya Bawah Air ASEAN.
“Kita ingin mengekalkan budaya Terengganu yang sinonim dengan sejarah maritim serta khazanah dasar laut dan kehidupan marin.
“Pemeliharaan semua bentuk budaya dan warisan bawah air mesti diberikan kepentingan yang sama, kerana ia adalah sebahagian daripada warisan kita kepada generasi akan datang,” tambahnya.
Sumber: TRDI News