Unit Udara Bomba Terbangkan 3 Pesakit Orang Asli Ke Hospital

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan dua penerbangan ihsan membawa pesakit wanita ke Hospital Gua Musang, di sini, semalam.

Pesakit, Rena Amat, 28, dan Maria Aluj, 24, dari Pos Balar yang sedang mengandung sembilan bulan, masing-masing mengalami sakit sejak dua hari dan lima hari lalu.

Seorang lagi pesakit, Jalisah Beloy, 45, dari Kampung Sedal, Pos Simpor, mengalami demam campak sejak lima hari lalu dan dalam keadaan lemah.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said, berkata dua daripada pesakit memerlukan pengusung dan anggota unit udara turut membantu membawa mereka ke pesawat.

“Pesakit dibawa keluar menggunakan pesawat Agusta Westland 139 (AW139) dan kami berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara pada jam 11.45 pagi.

“Pesawat singgah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang untuk mengambil dua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selepas mengambil dua pesakit dari Pos Balar, dengan seorang daripadanya memerlukan pengusung kerana kandungan sudah cukup bulan dan pecah air ketuban, pesawat berlepas ke BBP Gua Musang pada jam 1.23 tengah hari,” katanya.

Katanya, operasi diteruskan ke Kampung Sedal untuk mengambil seorang lagi pesakit wanita yang tidak boleh berjalan dan turut memerlukan pengusung.

“Pesawat tiba di Kampung Sedal pada jam 1.43 tengah hari untuk mengambil pesakit ketiga yang sakit sejak lima hari lalu dan perlu diusung ke pesawat.

“Semua pesakit dibawa ke hospital menggunakan ambulans dari BBP Gua Musang,” katanya.

Muhammad Akmaluddin berkata, operasi membabitkan lima kru penerbangan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zukhairee Zabidi.

Katanya, pesawat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Utara, pada jam 3.40 petang dan keseluruhan penerbangan untuk operasi itu adalah tiga jam 36 minit,” katanya.

– BERITA HARIAN