Unit Udara JBPM Lakukan Penerbangan Ihsan Bawa Bayi Orang Asli

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pangkalan Wilayah Tengah Subang melakukan penerbangan ihsan ‘medical evacuation’ (Medevac) membawa seorang bayi perempuan Orang Asli dari Pos Balar Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

Herissya Hefly yang berusia satu tahun tiga bulan mengalami sesak nafas, batuk dan lelah sejak tiga hari lalu ditemani ibunya Tijah Enda, 22, dibawa HGM bagi mendapatkan rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman, berkata dua jururawat dari Hospital Gua Musang dibawa bersama ke Pos Balar bagi mengeluarkan pesakit terbabit.

“Ketika melaksanakan operasi menghantar bantuan makanan ke Pos Orang Asli Gua Musang, pesawat mendapat tugasan mengambil pesakit kanak-kanak perempuan dari Pos Balar dengan menggunakan Agusta Westland 189 (AW189).

“Pesawat berlepas dari Padang Sivik pada jam 10.26 pagi dan kembali mendarat pada jam 11.15 pagi. Dua jururawat dibawa bersama ke Pos Balar bagi mengeluarkan pesakit bersama barang bantuan makanan untuk dihantar ke Kampung Gawin, Pos Gob.

“Selepas penghantaran bantuan makanan di Kampung Gawin, pesawat menuju ke Pos Balar untuk mengambil pesakit untuk dibawa ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hasrizal berkata, pesakit dalam keadaan stabil ketika di pindahkan dan dihantar ke Hospital Gua Musang.

“Pesawat kembali bertugas untuk menghantar bantuan makanan ke Pos Simpor. Sepanjang operasi semalam, keadaan cuaca berawan rendah, pada ketinggian 2,000 kaki dan penglihatan terhad di sesetengah tempat.

“Operasi membabitkan tiga kru penerbangan diketuai Penguasa Kanan Bomba II, Wahyudi Mohd Sayuhti,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN