United Belasah Liverpool

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BANGKOK – Manchester United membelasah Liverpool 4-0 di hadapan puluhan ribu penyokong pada aksi pramusim di Stadium Rajamangala, Bangkok, sebentar tadi.

Berbanding pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang menurunkan barisan muda, Erik Ten Hag menyenaraikan barisan terbaik untuk berdepan seteru tradisi berkenaan dan percaturan pengurus The Red Devils itu berhasil selepas mendahului 3-0 pada babak pertama.

Jadon Sancho membuka jaringan seawal minit ke-12 sebelum Fred melebarkan jurang dengan jaringan ‘chip’ yang melepasi jangkauan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Anthony Martial meletakkan United 3-0 sebelum Facundo Pellistri menyudahkan serangan balas pantas untuk gol keempat pada lewat permainan walaupun pada baki 30 minit babak kedua Liverpool menurunkan barisan terbaiknya termasuk bintang baharu, Darwin Nunez dan Mohamed Salah.

Kemenangan bergaya ini menyaksikan United membuka era baharu di bawah kendalian Ten Hag dengan nada positif.

Namun persoalannya sama ada aksi kemas The Red Devils itu dapat diteruskan selepas saingan sebenar Liga Perdana Inggeris membuka tirainya, awal bulan depan?

Bercakap kepada MUTV selepas aksi, Ten Hag berkata: “Saya puas hati hari ini. Pasukan ini mempamerkan semangat juang tinggi dan kami sedar ia baru saja bermula.

“Kami melakukan kesilapan ketika menyerang, memberikan beberapa peluang kepada lawan namun pada masa sama, kami mencipta banyak peluang.

“Kami harus bekerja keras untuk mengurangkan kesilapan, namun kami gembira dengan keputusan ini.

“Saya sedar kami memiliki pemain yang bagus. Kami sedang membina pasukan dan saya gembira dengan keputusan perlawanan pertama sebagai pengurus,” katanya

Sumber: BERITA HARIAN