LONDON – Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuettl berkata dia tidak terkejut dengan permulaan buruk Manchester United di bawah kendalian Erik ten Hag, namun menambah bahawa kelab Manchester itu sudah ada “identiti jelas” dan boleh mencabar utuk merebut trofi musim ini.
United memulakan kempen Liga Perdana (EPL) dengan kekalahan 2-1 di laman sendiri kepada Brighton & Hove Albion serta dimalukan 4-0 di tangan Brentford, namun menampilkan persembahan terbaik ketika menang 2-1 mengatasi seteru utama, Liverpool.
Mereka juga bergelut untuk mendapatkan pemain dalam fasa perpindahan dan Hasenhuettl berkata bahawa kegagalan di luar padang United, ditambah cabaran untuk menyesuaikan diri dengan falsafah pengurus baharu, menerangkan sebab sebenar permulaan hambar mereka.
“Mereka pasukan dengan pengurus baharu,” kata Hasenhuettl ketika sidang akhbar menentang United.
“Dan selepas pramusim yang tidak begitu lama, ketika pengurus perlu menunggu dan pemain baharu masuk, dia tidak memiliki keseluruhan skuad untuk mendapatkan idea membangunkan pasukan. Ia bukanlah mengejutkan ia tidak menjadi dan tidak semuanya sempurna.
“(Tapi) Saya melihat identiti jelas apa yang mereka mahu lakukan ketika ini. Mereka menunjukkannya dalam perlawanan terakhir dan mereka menunjukkan bahawa mereka adalah pasukan yang kuat. Anda bercakap mengenai pasukan utama yang akan mengejar gelaran dan mereka boleh melakukannya musim ini.”
Ten Hag tidak menyenaraikan empat pemain termasuk tomnggak, Cristiano Ronaldo dan kapten, Harry Maguire daripada kesebelasan utama menentang Liverpool.
Hasenhuettl berkata, kesanggupan pengendali dari Belanda itu membuat perubahan terhadap skuadnya menjadikan kesebelasan utama United “sukar” diramal selain boleh menampilkan pemain baharu, Casemiro.
“Jika Casemiro bermain sekalipun, tidak jelas cara mereka akan bermain,” kata Hasenhuettl.
“Kami pasti akan berdepan pasukan yang kuat dan akhirnya ia bergantung kepada cara kami mahu bermain.
“Saya rasa ia akan menjadi perlawanan sengit… Mereka kuat. Kami tidak boleh biarkan mereka terlalu yakin.”
Sumber : BERITA HARIAN