United Tidak Matang, Tidak Bersemangat – Ten Hag

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik ten Hag berkata, pemain-pemainnya kurang matang dan tidak ada keazaman tinggi ketika kekalahan 2-0 di Newcastle.

Skuad tuan rumah melakukan 22 percubaan berbanding hanya enam dari pelawat, dan menguasai permainan sebelum jaringan babak kedua menerusi Joe Willock dan Callum Wilson, yang membolehkan The Magpies memintas United untuk tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Ten Hag tidak berselindung untuk mengkritik pemainnya dan bersetuju dengan kenyataan pertahanannya, Luke Shaw yang mengakui Newcastle menunjukkan yang mereka lebih mahukan kemenangan.

“Saya sangat bersetuju dan penilaian saya juga begitu. Mereka lebih mahukannya, lebih agresif dan bersemangat.

“Saya terkejut yang kita tidak mampu menandingi keazaman pihak lawan. Jika anda mahu menang perlawanan besar, anda perlu menjadi matang, dan saya tidak nampak perkara itu,” kata Ten Hag.

Sementara itu Shaw berkata: “Saya rasa Newcastle adalah pasukan yang bagus tetapi saya tidak fikir mereka menang kerana kualiti pada hari ini. Jelas sekali semangat mereka lebih tinggi daripada kita, dan itu tidak patut berlaku.

“Sebelum rehat perlawanan antarabangsa, prestasi kami sudah mula merosot. Ia tidak cukup bagus dan tidak boleh diterima.”

United kekal di tangga keempat liga dan masih berada dalam saingan Piala FA serta Liga Europa.

Pengendali Newcastle, Eddie Howe dilihat bertengkar dengan Ten Hag di babak kedua permainan selepas pemain-pemain tuan rumah dikatakan cuba melambatkan permainan.

“Saya ingin jelaskan satu perkara – kami mahu bola terus berada dalam permainan. Kami mahu permainan pantas.

“Saya tidak tahu dari mana dakwaan melambatkan permainan ini datang, kerana ia bukan kami dan anda lihat sendiri hari ini, kami mahukan bola dimainkan secepat mungkin,” kata Howe.

– BERITA HARIAN