TEMERLOH, 25 SEPTEMBER 2021 : Universiti Automotif DRB-Hicom menawarkan sebanyak RM5.46 juta tajaan pengajian kepada seramai 130 pelajar daripada keluarga B40.
Pegawai Khas Pejabat Naib Canselor Universiti Automotif DRB-Hicom, Encik Abdul Syafiq Ramlan berkata, ini merupakan tahun kedua penajaan pelajar dilaksanakan bertujuan memastikan golongan tidak berkemampuan juga dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
“Sebenarnya biasiswa ini terbuka kepada semua, kita buka permohonan secara terbuka melalui website kita cuma yang ini khusus yang pihak DUN sendiri cari, tolong calon dan tolong saringkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Universiti Automotif DRB-Hicom, Biasiswa Penuh Dermasiswa B40 Kepada Anak Kerdau di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kerdau, di Temerloh.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pegawai Unit Komunikasi Korporat Universiti Automotif DRB-Hicom, Encik Muhammad Haikal Khairul Azman dan Pegawai Unit Pemasaran dan Tajaan Universiti Automotif DRB-Hicom, Encik Muhammad Haikal Imran.
Encik Abdul Syafiq berkata, setiap pelajar menerima tajaan sebanyak RM42,000 bagi menampung pengajian diploma selama dua tahun setengah merangkumi yuran pengajian, yuran peperiksaan, asrama dan elaun sara diri.
Beliau berharap penerima dermasiswa ini dapat memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk belajar supaya dapat mengubah masa hadapan ke arah yang lebih baik menerusi pendidikan yang cemerlang.
Enam pelajar bagi kawasan Dewan Negeri Kerdau telah terpilih untuk menerima dermasiswa dengan tajaan penuh bagi jurusan Diploma in Occupational Safety and Health (DOSH) dan Diploma in Procurement Management.
SUmber: PAHANGMEDIA