UPNP Sita Lombong Haram Di Kampung Keledek

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2021: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya mengesan dan menggagalkan perlombongan disyaki haram atas tanah kerajaan terpencil di Kampung Keledek, Mukim Batu Yon, Lipis kelmarin.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam laman Facebooknya mengucapkan tahniah kepada UPNP kerana kejayaan berkenaan.

“Ucapan tahniah juga kepada YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak yang sanggup turun padang menyertai operasi risikan yang dilakukan sehari sebelumnya.

“Semasa anggota-anggota UPNP memasuki kawasan, tiada sebarang aktiviti dilakukan tetapi mendapati terdapat kesan aktiviti disyaki melombong,” katanya.

Beliau berkata, hasil operasi, tindakan sita diambil meliputi sebuah jengkaut, sebuah lori, sebuah generator, sebuah pam air dan dua buah motosikal.

“Saya dimaklumkan, di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 jika Notis Sitaan dituntut oleh pelombong disyaki haram serta sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Sekiranya Notis Sitaan tidak dituntut pula, Seksyen 141 Enakmen yang sama menetapkan bahawa proses pelucuthakan benda-benda yang disita boleh diambil.

“Saya juga difahamkan sepanjang tahun 2021 ini, UPNP berjaya menyita 27 buah jentera excavator, 26 buah lori, 24 pam air, tiga (3) palong, lima (5) set mesin pemecah batu, tiga (3) buah motosikal, satu (1) set pengesan logam; dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM2.2 juta,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA