Firman Allah SWT mahfumnya: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah ar-Rahman, ayat 13). Ayat ini jelas menuntut semua hamba-Nya untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Janganlah apabila nikmat tersebut ditarik balik, baru kita mencari di mana rasa syukur dalam diri selama ini. Pepatah Melayu mengatakan ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Tokoh ilmuwan Islam ada berpesan: “Jalan yang lurus ialah syukur kerana syukur adalah maqam yang tinggi.”
Berhentilah mengeluh dan beralih kepada rasa lebih mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Kita harus ingat bahawa tidak akan ada sesuatu perkara yang terjadi di muka bumi ini tanpa keizinan-Nya. Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya mesti sentiasa berasa bersyukur dan menzahirkannya pada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allahlah ia datang.” (Surah an-Nahl, ayat 53)
Ramai umat Islam hari ini hanya bersyukur apabila mendapat sesuatu nikmat, tetapi mengecam apabila mendapat musibah. Allah SWT berfirman: “Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: ayat 13).
Iblis sentiasa berusaha menyesatkan manusia supaya manusia tidak merasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iblis menjawab: ‘Kerana Engkau menghukum aku tersesat, maka aku benar-benar akan menghalang mereka daripada jalan Engkau yang lurus.'” (Surah al-A’raf, ayat 16)
Bersyukur adalah sifat orang yang bertakwa. Firman Allah SWT mafhumnya: “Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.” (Surah ali-Imran, ayat 123)
Indahnya Bersyukur
Bersyukur adalah hal yang selalu disebutkan dalam al-Quran. Bersyukur akan membuatkan diri kita semakin ikhlas dan dekat kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran ertinya: “Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhan kalian memaklumatkan, ‘Sesungguhnya jika kalian bersyukur (atas nikmat-Ku), pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kalian; dan jika kalian mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Rasulullah SAW selalu solat sehingga kakinya bengkak. Apabila ditanya mengapa baginda solat sebegitu sedangkan baginda dijanjikan syurga: “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?” (Riwayat Bukhari)
Firman Allah SWT dalam al-Quran mafhumnya: “Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman, hikmah kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): ‘Bersyukur kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepada mu).
Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah al-Lukman, ayat 12)
Sifat bersyukur amat diperlukan untuk mengatasi segala onak duri dalam kehidupan. Ketika senang, kita bersyukur dan ia akan menjadikan kita terinspirasi. Ketika ditimpa musibah, kita bersyukur dan kita akan dapat mengatasi situasi yang sukar.
Jika kita menjengah ke dunia luar, ramai yang mengimpikan kehidupan kita sebagai kehidupan mereka. Maka syukuri segala pemberian yang diberikan oleh-Nya kerana setiap musibah turun dengan seribu hikmah di sebaliknya.
Cara Bersyukur
Memuji dan berterima kasih kepada Ilahi. Sebelum berdoa, pujilah dan berterima kasihlah kepada Allah SWT atas setiap pemberian yang diberikan dengan melafazkan kalimah ‘alhamdulillah’.
Ucap terima kasih kepada manusia lain. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang telah ditolong dan berkata kepada mereka yang menolongnya, ‘jazakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)’ telah melakukan yang secukupnya untuk membalasnya.” (Riwayat Tirmizi)
Renungkan rezeki yang kita peroleh. Kita tidak akan pernah dapat menghitung setiap rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Ini secara tidak langsung melahirkan rasa syukur dalam hati.
Firman Allah SWT mafhumnya: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. (Surah al-Baqarah, ayat 34)
Meminta bantuan Allah untuk terus istiqamah merasai syukur dengan kurniaan-Nya. Doa yang diajarkan Rasulullah SAW selepas solat, seperti dinyatakan dalam hadis daripada Muaz bin Jabal RA: “Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan Menyembah-Mu dengan sebaiknya” (Riwayat Abu Daud)
Sumber: HARIAN METRO