MANCHESTER – Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick menyifatkan pasukannya tidak boleh bergantung kepada Cristiano Ronaldo sepenuhnya selepas pemain Portugal itu meledak hatrik.
Tiga gol yang dijaringkan pemain yang dikhabarkan kurang selesa bersama Red Devils itu, memastikan kemenangan 3-2 ke atas Norwich City pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.
‘Kita tidak seharusnya hanya bergantung kepadanya (Ronaldo), kami bermain dengan baik pada masa tertentu tetapi kami kadang-kadang memperlahankan permainan dan tidak menggunakan situasi bertindih di bahagian sayap.
“Kami perlu meningkatkan permainan kami,” ujar Rangnick.
Bintang Portugal itu menjaringkan hatrik ketika United menewaskan Norwich di Old Trafford namun cemas seketika apabila pelawat menyamakan kedudukan menerusi jaringan Dowell m-45 dan Pukki m-52 sewaktu tuan rumah mendahului 2-0.
Walaupun United mendaki tangga kelima dengan kemenangan itu, Rangnick mengakui kurang berpuas hati dan mengkritik permainan serta corak bertahan pasukan kendaliannya.
“Selepas kami menjaringkan gol kedua, kami sepatutnya menjadikan perlawanan lebih mudah untuk diri kami sendiri tetapi tidak melakukannya. Kami kehilangan struktur dan tidak cukup agresif, saya langsung tidak gembira dengan pertahanan,” ujarnya.
United ketinggalan tiga mata di belakang Tottenham, yang kini menduduki tempat keempat dan Red Devils bakal berdepan dua perlawanan penting menentang Liverpool dan Arsenal di tempat lawan.
Dalam pada itu, Paul Pogba berang dengan rakan sepasukannya Harry Maguire selepas kapten United itu tersepak kepalanya sehingga berdarah di pertengahan babak kedua itu sehingga terpaksa ditenangkan oleh Ronaldo.
Alex Telles mengambil sepakan sudut dan ketika Pogba melompat untuk menanduk bola, kaki Maguire terkena kepalanya manakala bola itu berjaya ditanduk Ronaldo tetapi diselamatkan penjaga gol Norwich, Tim Krul.
Sebelum pasukan perubatan masuk ke padang untuk merawat Pogba, Ronaldo dilihat cuba memujuk Pogba yang merenung tajam ke arah Maguire.
Sumber: UTUSAN MALAYSIA