Kuantan: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang berusaha mendapatkan kebenaran agar aktiviti penggambaran di dalam studio dibenarkan apabila negara berada dalam Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, cadangan itu tertakluk kepada studio yang diberikan kelulusan sahaja bagi memudahkan aspek pematuhan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) serta keselamatan yang menjadi agenda utama membanteras penularan wabak Covid-19.
“Kita mempunyai studio yang boleh digunakan termasuk di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Selangor, Johor dan Sarawak selain ada beberapa syarikat produksi yang mempunyai kemudahan itu memberi keizinan menggunakan studio mereka.
“Jumlahnya (studio) tidak banyak namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka bernafas kerana di sebalik penggambaran, ada ramai di belakang tabir,” katanya pada sidang media Pembentangan Kad Laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota 2020 secara dalam talian, di sini, hari ini.
Berdasarkan ketetapan sebelum ini, aktiviti penggambaran hanya dibenarkan beroperasi apabila negara berada pada Fasa Tiga PPN iaitu apabila purata kes harian Covid-19 kurang 2,000 kes, penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) berada pada paras mencukupi dan kadar vaksinasi ialah sebanyak 40 peratus.
Beliau berkata, cadangan itu akan diutarakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan sewajarnya.
Selain itu, cadangan supaya peralihan fasa PPN dibuat mengikut negeri, menurut Saifuddin, ia dapat membantu industri seni kreatif jika terdapat studio bersesuaian di negeri berkenaan yang boleh dipertimbangkan bagi aktiviti penggambaran tertakluk kepada syarat dan SOP ditetapkan.
Saifuddin juga memaklumkan setakat ini, lebih kurang RM250 juta diperuntukkan bagi membantu mereka dalam industri seni kreatif yang terkesan, dengan RM100 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Pada perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan kempen bendera putih sebagai tanda meminta pertolongan kerana kehabisan stok makanan dan berharap mereka mengibarkannya di lokasi sesuai dan bukannya di tiang elektrik yang boleh membahayakan diri.
“Kita cuba untuk membantu sesiapa sahaja dan mereka boleh menyampaikan permohonan (meminta bantuan) dengan pelbagai cara. Malah menjadi kelaziman apabila kita mengedarkan bantuan ke rumah, kita sentiasa membawa lebih supaya dapat diedarkan terus jika terjumpa mereka dalam kesusahan,” katanya.
Saifuddin berkata, selain data di pejabat khidmatnya, mereka juga menerima permohonan bantuan melalui panggilan telefon atau maklumat orang ramai, pemimpin setempat atau parti politik selain turut mengalu-alukan mereka datang ke pejabatnya di Indera Mahkota 8, di sini.
“Kami mempunyai gerobok asnaf yang diisi dengan makanan asas. Kami juga membantu mana-mana pihak yang memerlukan barangan selain makanan seperti lampin pakai buang atau susu bayi dan mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi kami,” katanya.
Sumber: My Metro