Usia muda bukan penghalang jadi petani

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIU: Usia muda bukan penghalang buat seorang remaja berusia 19 tahun menceburkan diri dalam bidang pertanian apabila menjadi peserta program tanaman ubi vitato secara berkelompok di Kampung Banggol, di sini.

Muhammad Iqmal Haikal Ab Mueei dari Kampung Banggol di sini berkata, walaupun dia tidak mempunyai pengalaman, namun dia yang merupakan peserta termuda nekad untuk serius dalam bidang pertanian bagi menjana ekonomi.

“Sebelum ini, saya bekerja di kedai makan di Penarik, tetapi kedai terpaksa ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bila tanaman ubi vitato sudah bermula, saya berikan sepenuh perhatian terhadap program ini.

“Saya tidak pernah bertani, tetapi sebab minat saya teruskan dengan harapan dapat belajar selok-belok pertanian dengan peserta lain yang lebih berpengalaman,”katanya ketika ditemui di ladang tanaman ubi vitato di Kampung Banggol.

Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, rutinnya di kebun bermula jam 8 pagi dan pulang dua jam kemudian sebelum pergi semula ke kebun pada sekitar jam 5 petang bagi tujuan membaja serta menyiram tanaman.

Menurut Muhammad Iqmal Haikal, dia mengeluarkan modal lebih dari RM1,000 hasil simpanan sendiri dan sumbangan bapa serta adik-beradiknya bagi memastikan hasrat menjadi usahawan tani tercapai.

“Masa mula-mula tanam memang rasa susah terutama dari segi kewangan dan tenaga buruh. Saya tidak ada pekerja dan hanya tanam sendiri, mujur ayah, Ab Meei Hamid, 62 dan ibu, Fatimah Salleh, 50, datang membantu.

“Sekarang tanaman ubi vitato seluas satu ekar (0.40 hektar) yang saya usahakan ini sudah berusia sebulan dan ia dijangka dapat dituai pada September nanti,”katanya.

Muhammad Iqmal Haikal merupakan salah seorang dari 70 peserta Program Tanaman Ubi Vitato secara berkelompok di atas tanah seluas 28 hektar mengikut model kerjasama antara kerajaan negeri dan penduduk setempat di Kampung Banggol, Permaisuri.

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, projek tanaman ubi vitato berkelompok akan diperluaskan di beberapa kawasan lain bagi peningkatan tahap sara diri (SSL).

Katanya, tanaman ubi vitato di Kampung Banggol dapat menghasilkan kira-kira 350 tan ubi semusim dengan anggaran jualan RM630,000 iaitu berdasarkan harga semasa RM 1.80 sekilogram.

“Ubi ini dipasarkan ke Lembah Klang, utara dan beberapa kawasan lain. Tanaman ubi vitato menjadi antara fokus kita untuk pembangunan tanah terbiar dan kita mahukan lebih ramai peserta terlibat dalam pertanian,”katanya.

Sumber: Sinar Harian