Usiamu baru darjah lima, tapi terpaksa…

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Menggalas tugas sebagai ketua keluarga bukanlah satu perkara yang mudah untuk semua orang, apatah lagi perkara itu berlaku ketika usia yang sangat muda. Namun perkara itu yang dilalui oleh Shahera Rosdi disaat rakan sebayanya yang lain berperah otak menyambung pelajaran, namun dia berkerah keringat menyara keluarganya.

Tanggungjawab besar itu dipikul Shahera ketika dia berusia 11 tahun lagi setelah bapanya Rosdi Annuar, 50, terlantar kerana serangan angin ahmar separuh tubuh dari pinggang ke bawah. Kini sudah empat tahun Shahera menggalas tanggungjawab dengan penuh keikhlasan menguruskan ayah serta dua adiknya setelah berpisah dengan ibunya sejak 10 tahun lalu.

Walaupun raut wajah pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pak Amat itu kelihatan tenang dan mudah tersenyum ketika berbicara namun, sebaik mengenangkan nasib ayahnya, air matanya laju bercucuran dan gagal mengawal kesedihan.

“Saya sedih dan saya tidak sanggup tengok keadaan papa begini… Papa sakit, tapi saya tak pernah anggap Papa membebankan saya,” katanya ringkas membiarkan pipinya dibasahi air mata ketika menerima kunjungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di rumahnya di Kampung Merkang Pasir Puteh.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, rutin hariannya bermula dari jam 5 pagi lagi, di awal pagi siapkan makan dan minum dua adiknya, Amirul Mukmin, 12 Nor Shamimi Balqis, 10 untuk ke sekolah termasuk ayahnya.

Ketika bulan Ramadan pula, tugasnya bermula jam 4.30 pagi lagi, memasak atau panaskan lauk pauk untuk bersahur dan kejutkan adik-adik selain menyiapkan ubat-ubatan ayahnya yang turut menghidap asma itu.

Hidup mereka sekeluarga serba kekurangan, malah ada waktunya, mereka hanya makan nasi goreng kosong tanpa lauk dan hanya garam sebagai penambah rasa. Namun itulah kenyataan yang perlu dilalui oleh Shahera bersama keluarganya.

Bercerita mengenai bapanya pula, Rosdi yang dahulunya bekerja sebagai tukang rumah dan juga penoreh getah, kini sudah tidak selincah itu lagi. Selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dia juga mengharapkan ihsan adik-beradiknya dan juga penduduk kampung.

Meskipun, dia cuba untuk menahan kesedihan dan menyembunyikan penderitaan yang ditanggung, namun semuanya itu tidak termampu apabila mengenangnya nasibnya yang tidak dapat membesarkan anak-anak dengan tangannya sendiri.

“Saya memang tidak mampu, dalam keadaan terlantar begini nak hulurkan satu ringgit bila anak minta pun saya tak mampu, siapa tak sedih. Saya seorang ayah tapi tak boleh buat apa-apa. Anak-anak pernah ke sekolah tanpa bawa duit, mereka tahu kami susah. Mereka tidak minta, tapi saya bersyukur sebab guru-guru juga banyak membantu mereka di sekolah,” katanya yang cuba ditenangkan anak ketiga dan keduanya.

Kunjungan MAIK bersama Imam Tua Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Mohamad Sabri Abdul Ghani juga terkejut apabila Rosdi memberitahu yang dia tiba-tiba terasa macam nak pitam. Bukan disebabkan kerana berpuasa tetapi keadaan di dalam rumahnya yang terasa bahang meskipun ketika itu baru jam 9.30 pagi.

Hanya ada satu kipas kecil yang ligat berpusing, diletak di kerusi buruk, namun tidak begitu terasa anginnya. Menjengah ke dalam bilik dua anak perempuannya itu, kami terkejut kerana tidur di lantai konkrit yang hanya beralas dengan kain untuk menghilangkan kesejukan.

Oleh kerana sebak dan sedih melihat keadaan keluarga ini kami telah membawa mereka ke bandar Pasir Puteh untuk membeli beberapa barangan keperluan mereka… Kami belikan baju raya baharu, kami belikan kipas baharu gantikan yang lama…kami belikan juga katil baru supaya mereka lebih selesa. Sebanyak RM3,000 dibelanjakan.

Tiba-tiba si adik mencelah….Wahhhhh, cantiknya kakak kalau kakak pakai baju merah niiii, tak pernah tengok comel macam ni…tapi mahallah kakak… letak balik kakak!

Lantas si kakak akur perlahan-lahan mahu menyimpannya kembali, nampak riak wajahnya berubah… namun kami tunaikan hasrat si kakak, harga baju tak sampaipun RM70… Kami bayarkan untuk si kakak yang sangat berjasa buat keluarganya ini.

Nampak di sebalik pelitup muka, matanya berbicara… tersenyum gembira bila baju kurung moden merah berbunga putih itu akhirnya menjadi miliknya. Lalu dibalas dengan ucapan terima kasih untuk MAIK.

YA ALLAH… Ya tuhanku….Ketika itu, hati kami turut tersentuh dan menumpang gembira melihat ketiga-tiga beradik tersebut tidak lekang tersenyum, nampak terlalu gembira sedang tangan mereka terus membelek pakaian dan kasut serba baharu yang lain.

Sekembalinya ke rumah, ayahnya pula berterima kasih sambil menangis kegembiraan apabila anak-anak begitu teruja menunjukkan baju raya serba baharu dan peralatan rumah yang baharu.

Dalam keadaan sebak, si ayah mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAIK dan juga pembayar zakat, kerana dengan sumbangan itulah dapat menceriakan hidup anak-anaknya dan juga memberikan keselesaan kepada keluarganya.

Jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat kerana dengan sumbangan anda dapat membantu insan di luar sana yang memerlukan.

Sumber: FB Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan