KUALA TERENGGANU – Penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami masalah kesihatan.
Perkara tersebut dikongsikan Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dalam Facebook rasmi beliau selepas menziarahi pendakwah itu pada Khamis.
Menurutnya, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI dimasukkan ke hospital pada Selasa selepas mengadu kurang sihat.
“Alhamdulillah, kesihatan Murabbi Ummah, Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus semakin bertambah baik setelah menjalani rawatan di hospital.
“Sewaktu ziarah Al-Fadhil Ustaz tadi, sempat juga beliau bergurau senda bersama kami sambil menceritakan kisah sakit yang sedang dilaluinya kini.
“Mohon sama-sama doakan agar Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus diberi kesembuhan dan kesihatan Afiyah, insya-ALLAH,” katanya yang turut memaklumkan UAI dipindahkan ke wad kelas pertama.
Sebelum ini, kuliah Maghrib Ambang Ramadan bersama Ustaz Azhar Idrus yang sepatutnya berlangsung Masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemung pada Rabu terpaksa ditangguhkan kerana masalah kesihatan.
“Ditangguhkan atas sebab kesihatan, doakan kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” kata hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus.
Beberapa tokoh agama dan pemimpin politik turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Ustaz Azhar Idrus termasuk Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
– SINAR HARIAN