Utamakan Kesihatan Awam Berbanding Hak Asasi Untuk Merokok – KP Kesihatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Isu kesihatan awam perlu diutamakan mengatasi “hak asasi”  untuk merokok, terutama sekali kepada golongan muda, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berikutan itu, beliau berkata orang ramai disarankan untuk membantu dan menyokong tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melindungi generasi muda di negara ini daripada amalan menghisap rokok tembakau dan “vape”.

“Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dan Generasi Penamat (GEG) menyasarkan untuk mewujudkan generasi yang bebas daripada sebarang amalan merokok termasuk rokok dan ‘vape’ bagi mereka yang lahir pada 2007 dan tahun-tahun selepasnya,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam, Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti merokok dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menurut RUU itu, individu berkenaan yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika disabitkan kesalahan.

Dr Noor Hisham turut memetik fakta sejarah mengenai penguatkuasaan undang-undang sebelum ini seperti pemakaian topi keledar dan tali pinggang keledar yang bersifat mementingkan keselamatan dan nyawa orang awam.

“Alhamdulillah pada 1975, 1979 dan 2009, Ahli-ahli Parlimen ketika itu telah menggunakan kuasa mereka sebagai wakil rakyat dengan baik dan telah berjasa menyelamatkan banyak nyawa.

Tidak pula didengari ketika itu pihak tertentu dan pelobi-pelobi yang mempersoalkan hak asasi  untuk terus tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keledar?” katanya.

Sumber: BERNAMA