Uwais Al-Qarni Yang Dikenali Penduduk Langit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Uwais al-Qarni merupakan seorang pemuda daripada kabilah Yaman Bani Murad. Nama sebenar beliau adalah Uwais bin ‘Amir dan beliau merupakan seorang pemuda yang sangat miskin. Beliau telah meninggal dunia pada tahun ke-37 Hijrah ketika berusia 67 tahun dalam perang Siffin. Beliau tidak terkenal dalam kalangan penduduk bumi, namun beliau sangat dikenali di kalangan penduduk langit. 

Beliau juga termasuk daripada kalangan tabi’in yang utama. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Sesungguhnya tabi’in yang terbaik ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia memiliki seorang ibu dan dahulu dia berpenyakit kulit (tubuhnya ada putih-putih). Suruhlah dia untuk memohon ampun untuk kamu semua.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2542)

Kisah beliau yang telah menggendong ibunya dari Yaman ke Mekah untuk menunaikan Haji sangat terkenal. Beliau hanya berjalan kaki bagi menunaikan hasrat ibunya itu. Disebabkan ketaatan kepada ibunya yang sudah uzur itu, beliau dimuliakan oleh penduduk langit.

Namun, beliau tidak mempunyai harta mahupun saudara mara yang lain. Bapanya telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Maka, tinggallah beliau dengan ibunya yang lumpuh.

Beliau bukan sahaja diuji dengan kemiskinan, namun juga dengan penyakit kulit iaitu penyakit sopak di seluruh badan. Berkat doa dan ketaatan kepada ibunya, penyakitnya itu telah sembuh dan tidak meninggalkan kesan kecuali di tapak tangannya.

Beliau telah beberapa kali ingin menjumpai Baginda SAW, namun menurut beberapa riwayat hasratnya itu tidak pernah tercapai. Setiap apa yang ingin dilakukannya, beliau akan mempertimbangkan keadaan ibunya kerana berasa takut untuk meninggalkan ibunya sendiri tanpa pemantauan.

Walau bagaimanapun, beliau telah berkesempatan berjumpa dengan Umar Al-Khattab beberapa tahun selepas Umar dilantik sebagai khalifah. Diceritakan juga bahawa Umar sendiri yang sentiasa menunggu dan mengharapkan kedatangan beliau disebabkan oleh sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Baginda SAW yang bersabda bermaksud:

“Nanti akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin ‘Amir bersama rombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, dari Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan yang dipintanya. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Muslim , No. 2542)

Sumber: TZKRH.COM