Vaksin Belum Tentu Dapat Lawan Omicron – KKM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) belum dapat memastikan tahap keupayaan vaksin dan ubat sedia ada dalam usaha mengekang penularan varian baharu COVID-19, Omicron.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata rakyat perlu mengambil sikap lebih waspada dengan kemunculan varian baharu, termasuk bertindak segera dengan mengambil dos penggalak.

“Sebab itu, pentingnya untuk kita ambil dos penggalak. Contoh dengan kemunculan Omicron ini. Ia dikatakan satu varian yang mungkin lebih bahaya kerana dikatakan mempunyai 32 mutasi protein berbanding sembilan oleh (varian) Delta.

“Omicron juga sudah menjadi varian membimbangkan (VOC). Kita belum pasti sejauh mana vaksin sedia ada boleh menangkis varian ini dan ubat yang diberikan dapat merawat varian ini.

“Biarpun kita sudah bebas bergerak dan sampai fasa empat (Pelan Pemulihan Negara), rakyat mesti menyedari perkara ini (kemunculan varian VOC), supaya kita dapat hindarkan dari dijangkiti COVID-19 sekali lagi,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, dos penggalak penting kerana kajian banyak negara menunjukkan selepas enam bulan, imuniti seseorang akan mula berkurangan, dan dengan dos penggalak, imuniti dapat ditingkatkan seterusnya mengurangkan risiko jangkitan dan tahap serius.

“Saya rasa di negara kita, sudah mula ada kelekaan berlaku. Sebab bila hampir 80 peratus sudah dapat dos vaksin lengkap, ada kelekaan sedikit. Sebab semua rasa sudah ok.

“Kita kena faham, dengan kewujudan varian baru yang ditemui di Afrika Selatan dan terkini di Hong Kong, sebab itu kerajaan sudah mula melaksana kawalan ketat dengan tidak membenarkan mereka dari negara tertentu, datang ke sini,” katanya.

Terdahulu menjawab soalan asal Ahmad Johnie mengenai tahap vaksinasi di Sarawak, beliau berkata, Sarawak kini menjadi negeri yang menerima jumlah dos penggalak tertinggi setakat kelmarin.

Dalam pada itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, beliau berkata, KKM sememangnya berusaha untuk memberi pelindungan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Kanak-kanak lima hingga 11 tahun, apabila kita benarkan pergerakan, kita lihat mereka juga dibawa ke Langkawi dan majlis kahwin. Anak-anak kita ini, mereka tidak dilindungi (vaksin). Sebab itu kerajaan berusaha adakan vaksin kepada anak-anak berusia lima hingga 11 tahun ini,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN