Kota Bharu: Seorang warga emas mengakui rasa takut selepas mendengar pelbagai berita negatif mengenai kesan suntikan vaksin menyebabkan dia antara hampir 10,000 penduduk di Kelantan gagal hadir untuk janji temu suntikan vaksin Covid-19.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zahra berusia 70 tahun itu berkata, maklumat negatif itu didengari ketika berborak dengan penduduk kampung menyebabkan dia belum bersedia untuk menerima vaksin.
Dia yang tinggal di Kampung Dangar, Pasir Mas itu berkata, pada awalnya ketika kerajaan meminta semua penduduk mendaftar untuk suntikan vaksin, dia lebih bersikap terbuka.
“Ketika itu ketika anak memaklumkan sudah mendaftarkan mak cik untuk menerima suntikan vaksin, memang mak cik bersetuju dan tidak memikirkan perkara negatif.
“Namun apabila bercakap mengenai isu vaksin dengan orang kampung lain, banyak cerita negatif yang diberitahu kesan dari suntikan vaksin menyebabkan mak cik jadi berbelah bahagi.
“Disebabkan perasaan itu juga mak cik tidak hadir untuk janji temu suntikan vaksin bulan lalu, walaupun anak sudah memaklumkan perkara itu. Mak cik meminta masa kepada anak untuk berbuat demikian apabila sudah rasa bersedia,” katanya ketika dihubungi.
Katanya yang turut mengakui anak-anaknya sudah memainkan peranan dengan menceritakan kelebihan vaksin, namun dia sudah berjanji akan mengambil vaksin sebaik merasakan sudah bersedia.
“Disebabkan keengganan mak cik mengambil vaksin, anak tidak membenarkan mak cik pergi ke tempat orang ramai kerana bimbang dijangkiti Covid-19. Mak cik sendiri akur dan sudah lama tidak keluar,” katanya.
Sementara itu, warga emas yang mahu dikenali sebagai Hamidah, 67, juga menggunakan alasan sama menyebabkan dia gagal hadir pada tarikh janji temu suntikan vaksin dua minggu lalu.
“Anak-anak yang mendaftarkan mak cik untuk suntikan vaksin, namun sebaik tiba pada tarikh berkenaan, mak cik berasa berbelah bahagi dan takut.
“Mak cik ada dengar cerita dari orang mengatakan kesan suntikan boleh menyebabkan kematian menyebabkan mak cik takut.
“Mak cik juga berharap pihak berkenaan (Jabatan Kesihatan) supaya masuk ke kampung-kampung untuk menceritakan kepentingan vaksin supaya dapat mengembalikan keyakinan kepada kami golongan berusia,” katanya.
Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan yang kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas gagal hadir janji temu untuk suntikan vaksin COVID-19 sehingga kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin dilaporkan berkata, antara punca kegagalan mereka hadir disebabkan masalah kesihatan dan menunda tarikh lain.
Selain itu katanya, ada juga yang tidak dapat hadir disebabkan masalah peribadi selain ramai juga yang tidak memaklumkan sebarang alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Sumber: My Metro