Vaksin COVID 19: Golongan gelandangan di Terengganu tidak diabaikan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU: Nasib golongan gelandangan di Terengganu tidak diabaikan dan mereka juga tetap akan menerima suntikan vaksin seperti individu yang lain.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata pihaknya akan memberikan suntikan satu dos seperti vaksin jenis CanSino kepada golongan tersebut.

Katanya jenis vaksin yang sama juga akan turut diberikan kepada banduan , Orang Asli serta penduduk di kawasan pulau.

“Terdapat kelompok-kelompok tertentu yang kita rasa sesuai diberikan satu dos atau ‘single dose’.

“Ini kerana kita bimbang ia akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan suntikan kali kedua dos vaksin,”katanya.

Beliau berkata suntikan itu akan dilakukan sebaik pihaknya menerima bekalan vaksin berkenaan.

Jelasnya lagi pemberian vaksin jenis ini lebih mudah untuk rakyat dan pihaknya mengendalikan suntikan tersebut.

Terdahulu Dr Nor Azimi berkata pihaknya mensasarkan 80 peratus imuniti kelompok di negeri itu dapat dicapai sebelum kedatangan musim tengkujuh pada Oktober depan.

Pihaknya optimis ianya dapat direalisasikan dengan pertambahan bekalan vaksin yang akan diterima pada bulan hadapan.

Sumber: Astro Awani