Vaksin COVID-19: Hanya 10.8 Peratus Kanak-Kanak Di Kelantan Terima Dos Pertama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Sekitar 10.8 peratus suntikan dos pertama direkodkan dalam kalangan kanak kanak berusia 5 hingga 11 tahun manakala sekitar 2.5 peratus bagi pengambilan suntikan kedua yang dilaporkan di seluruh Kelantan setakat ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menjelaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kurang mendapat sambutan daripada ibu bapa sejak ianya dilancarkan.

“Kelantan antara negeri terendah suntikan dalam kalangan kanak-kanak berusia dari 5 hingga 11 tahun, kurang mendapat sambutan daripada ibu bapa.

“Kita negeri paling rendah untuk vaksinasi kanak kanak 5 hingga 11 tahun di mana peratusan terkini sekitar 10.8 peratus untuk dos pertama manakala 2.5 peratus untuk dos kedua. Jadi angka ini agak rendah berbanding dengan populasi kanak-kanak yang ada di Kelantan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadhan di Tumpat petang semalam.

Jelasnya, walaupun tidak banyak kes kemasukkan ke hospital membabitkan kanak kanak dicatatkan, namun berlaku trend peningkatan jangkitan dalam kalangan golongan itu.

“Ini membimbangkan kita kerana kadar vaksinasi PICKids rendah, kita tengok ada trend peningkatan jangkitan kes dalam kalangan kanak-kanak,” tambahnya.

Zaini turut memaklumkan pengambilan dos penggalak dalam kalangan warga emas dan masyarakat Kelantan juga rendah.

Pihaknya bersama agensi berkaitan dan juga kerajaan negeri turut melaksanakan program kesedaran kepada golongan ibu bapa dan warga emas bagi meningkatkan tahap kesedaran.

Walaupun program ‘walk-in’ pengambilan dos penggalak yang diadakan di klinik terpilih dan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) dilaksanakan, jumlah kehadiran masih lagi rendah setakat ini.

Sumber: AWANI