Vaksin remaja diperluas selepas capai imuniti kelompok dewasa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Program imunisasi Covid-19 untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan diperluaskan ke negeri lain apabila imuniti kelompok dalam kalangan dewasa dicapai.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, proses vaksinasi untuk remaja itu dijalankan di negeri tertentu selain Sarawak sekiranya ada keperluan.

“Pendirian kita di Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) adalah selesaikan dulu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di mana perlu capai imuniti di kalangan penduduk dewasa.

“Setakat ini kita gunakan satu vaksin sahaja iaitu Pfizer untuk remaja yang mana kita dapat semua data klinikal yang dikatakan selamat, berkesan dan ada kualiti.

“Bagaimanapun, kita tumpu kepada remaja yang berusia 17 dan 16 tahun dan yang ada komorbiditi didahulukan, itu keputusan kita,” katanya.

DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Seri Dr Adham Baba. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian ditemui selepas melawat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Katanya, untuk suntikan penggalak vaksin Covid-19 di negara ini, perkara itu akan diputuskan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga Pengerusi bersama di bawah JKJAV.

Sementara itu, Dr Adham berkata, pihaknya sedang menyediakan ‘roadmap’ dan mengumpulkan saintis dari dalam serta luar negara untuk penghasilan vaksin Covid-19 sendiri.

“Kita cuba sedaya-upaya mengumpulkan saintis dari dalam dan luar negara untuk membantu dalam pembentukan vaksin ‘human’ pertama di negara kita.

“Ia akan dilakukan sama ada secara kolaborasi dalaman atau luar negara,” katanya.

Sumber: My Metro