PENGGUNAAN teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dilihat masih belum dapat menyelesaikan beberapa isu melibatkan keputusan kontroversi pengadil perlawanan.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, ada beberapa insiden yang sangat sukar untuk diputuskan pengadil biarpun telah berulang kali ulang tayang dilakukan.
“Terdapat salah faham apabila ramai yang berpendapat bahawa semua isu akan selesai dengan penggunaan VAR. Sebenarnya tidak kerana penggunaan VAR bertujuan membantu mengurangkan kesilapan jelas yang mungkin berlaku dalam sesuatu perlawanan.
“Sebagai contoh, berdasarkan kepada perkembangan semasa, beberapa insiden yang berlaku dalam Liga-M adalah sukar untuk diputuskan di atas padang oleh pengadil (on field decision).
“Ini mungkin berlaku disebabkan kesilapan pengadil yang tidak dapat berada di posisi yang sepatutnya ataupun situasi insiden itu sendiri yang menjadi sangat sukar dan hanya dapat dilihat melalui penggunaan teknologi,” katanya kepada Sukan Sinar.
Saingan Liga-M musim ini kembali mencetuskan kontroversi melibatkan keputusan pengadil sehingga timbul ‘usul’ daripada beberapa pihak yang menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera melaksanakan penggunaan VAR.
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad antara individu yang meminta FAM menggunakan pakai teknologi VAR dalam usaha menambah baik mutu pengadilan Liga-M.
Mengulas lanjut, Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan kos yang agak tinggi diperlukan FAM dalam usaha merealisasikan penggunaan VAR di negara ini.
Sumber: SINAR HARIAN