Varian Delta: Fahami tentang penyebarannya dan mengapa ia berbahaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

VARIAN Delta dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi (dua kali lebih mudah berjangkit berbandian varian Alpha) nampaknya semakin mengganas apabila kes yang dilaporkan di seluruh dunia semakin meningkat.

Malaysia sendiri tidak terlepas daripada menjadi sasaran varian Delta dengan mencatatkan purata bacaan sebanyak 20,000 kes setiap hari sepanjang tempoh tiga bulan.

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dan Ketua Jabatan Perubatan Pusat Pengajian Perubatan International Medical University (IMU), Profesor Dr James Koh menjelaskan sejak virus ini pertama kali dikenal pasti di Wuhan pada akhir 2019, dunia telah melihat pelbagai mutasi Covid-19.

Menjelaskan mutasi virus adalah perkara biasa, Prof James berkata apabila virus memasuki sel di dalam badan, virus akan melepaskan bahan genetik ke dalam sel. Sel ini kemudiannya menggunakan bahan genetik tersebut untuk menghasilkan lebih banyak salinan virus.

“Apabila virus mereplikasi dengan pantas di dalam masyarakat, iaitu ketika penularan besar-besaran, kadang-kala berlaku kesilapan semasa proses replikasi ini. Salinan yang terhasil itu mungkin tidak tepat.

Prof Dr James



Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dan Ketua Jabatan Perubatan Pusat Pengajian Perubatan International Medical University (IMU), Profesor Dr James Koh.

“Cuba bayangkan permainan kanak-kanak yang popular di mana pesanan disampaikan daripada seorang ke orang seterusnya melalui bisikan.

“Permainan itu bertujuan untuk melihat sama ada pesanan akan kekal dalam bentuk yang sama apabila ia sampai kepada orang terakhir. Semakin panjang barisan – iaitu semakin ramai yang menyampaikan pesanan – semakin tidak menentulah pesanan itu jadinya.

“Keadaan yang sama berlaku pada virus, apabila ia dipindahkan kepada lebih ramai orang, maka semakin tinggilah kebarangkalian untuk bermutasi,” jelasnya.

Mutasi adalah satu proses semula jadi dan menurut Prof James, ia tidak semestinya membuatkan sesuatu virus itu menjadi lebih kuat atau lebih berbahaya.

“Biasanya mutasi ini tidak memberi sebarang faedah kepada virus, tetapi dengan masa dan peluang yang cukup, mutasi boleh berlaku dan menambah keupayaan kepada virus untuk bertahan,” katanya.

Jelas Prof James, ini bermakna, jika kita tidak berjaga-jaga dan tidak mengawal penularan virus dalam masyarakat dengan sehabis baik — termasuk melalui vaksinasi dan mematuhi SOP — kita membiarkan pintu terbuka untuk kemunculan lebih banyak varian.

Delta Wave_Infographic



Perbezaan penyebaran cecair dan udara.

Apa yang telah berubah dengan varian Delta?

Kemunculan varian Delta ini kata Prof James bermakna virus tersebut mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih baik melalui mutasi.

Untuk masuk ke dalam sel kita, virus perlu melekatkan dirinya pada reseptor yang ada di permukaan sel kita terlebih dahulu – dalam kes Covid-19, ia melekat pada sel respiratori kita dengan menggunakan spike protein.

“Sebaik melekat, virus ini akan memasuki sel dan boleh mereplikasi. Spike protein pada varian Delta ini mengalami pengubahsuaian yang membolehkannya masuk ke dalam sel-sel kita dengan lebih pantas dan dengan itu lebih cepatlah ia mereplikasi. Inilah yang menjadikan varian Delta lebih mudah menular,” ujarnya.

Adakah ini bermakna varian Delta boleh melepasi tindak balas imun kita yang terhasil daripada vaksin? Menurut Prof James, vaksin terhadap varian Delta memang tidak sekuat perlindungannya ke atas varian Alpha, Beta dan Gamma.

Apabila vaksin diperkenalkan, ia mensasarkan kepada spike protein virus yang asal dan kini dengan varian Delta spike protein itu sudah berubah.

Pakai mask



Memakai pelitup muka dan mengamalkan SOP lain masih penting.

Bagaimanapun kata Prof James, vaksin tersebut tetap memberikan perlindungan kepada kita kerana ia masih dapat merangsang antibodi yang boleh mengesan spike protein varian Delta, walaupun ia mungkin tidak dapat meneutralkan virus berkenaan dengan berkesan seperti varian sebelumnya.

Sementara itu, Prof James menjelaskan kita tidak boleh menganggap proses mutasi yang menyebabkan varian Delta tersebar melalui udara.

“Anggapan hanya varian Delta yang tersebar melalui udara adalah salah. Pada permulaan pandemik dulu, pengetahuan kita adalah berdasarkan virus-virus yang hampir sama, yang kebanyakannya tersebar melalui titisan (cecair badan).

“Titisan ini adalah partikel besar yang jatuh ke tanah atau permukaan dengan cepat dan ia tidak tersebar jauh. Dengan ilmu pengetahuan yang kita dapat melalui penyelidikan, pakar sains cukup yakin bahawa kebanyakan virus Corona tersebar secara aerosol (partikel lebih kecil atau ampaian zarah),” jelasnya.

Untuk memahami dengan mudah bagaimana virus boleh menyebar melalui udara, beliau memberikan contoh penyemburan racun serangga di dalam bilik.

“Apabila anda masuk ke dalam bilik itu sejam kemudian, anda masih boleh menghidu baunya kerana selagi udara tidak bergerak, selagi itulah partikel ini akan terus terapung di udara. Begitulah juga keadaannya dengan virus Corona.

Pesakit Covid-19



Jumlah pesakit disebabkan varian Delta semakin meningkat.

“Jika kita membawa virus dan bercakap, menyanyi, menjerit bahkan bernafas diam-diam di dalam bilik yang tiada pergerakan udara, virus yang terhambur keluar akan terus terapung di udara,” ujarnya.

Menurut kajian, virus tersebut akan terus terapung di udara selama tiga hingga sembilan jam.

Bertentangan dengan kefahaman sebelum ini, bukti menunjukkan bahawa menyentuh permukaan tercemar agak tidak menyumbang kepada penularan Covid-19.

Inilah juga sebabnya mengapa SOP hari ini tidak terhad kepada penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, mencuci tangan dan mengelap permukaan sahaja.

Sebaliknya kata Prof James, langkah-langkah tambahan seperti memastikan aliran udara dan pengalihan udara yang baik, serta menggalakkan pemakaian dua helai pelitup muka dan pelindung muka turut diberi perhatian.

“Adalah lebih selamat untuk berada di luar di mana udara bergerak bebas, berbanding di dalam bangunan yang udaranya diedarkan semula,” ujarnya.

Sumber: My Metro