Kota Bharu: Kewujudan varian Delta dipercayai salah satu faktor yang menyebabkan trend peningkatan kes Covid-19 di Kelantan begitu ketara, sejak kebelakangan ini.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata setakat ini varian berkenaan hanya dikesan di Pasir Puteh, namun tidak menolak kemungkinan ia turut tersebar di daerah lain termasuk Bachok dan Tanah Merah.
Katanya, setakat ini hanya satu kes dikesan membabitkan varian Delta dan sebanyak 74 sampel lagi belum diketahui keputusannya dan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.
“Di Kelantan mencatatkan 16 kluster baharu. Setiap hari kita ada kluster baharu disebabkan virus sudah berada dalam komuniti. Pada masa sama, mungkin juga disebabkan kita gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita melihat trend peningkatan kes di negeri ini begitu cepat dan meluas. Berkemungkinan varian Delta ini bukan sahaja dikesan di Pasir Puteh tetapi ia juga berada di daerah lain.
“Justeru, kita berharap masyarakat sepatutnya patuh SOP dan tidak berada di tempat sesak melainkan terdapat urusan penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Vaksinasi Grand Riverview Hotel (GRV) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, sehingga kini sebanyak 123 kluster aktif sehingga semalam.
Katanya, untuk semalam sahaja terdapat enam kluster baharu termasuk Kluster Kampung Tok Junuh Mahligai di Bachok yang membabitkan kanak-kanak berusia lapan tahun.
Sumber: My Metro