Varian India punca larangan keluar masuk ke Labuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memutuskan untuk menetapkan larangan memasuki Sabah dari Labuan berikutan varian membimbangkan (VOC) India B.1.617.2 dikesan di wilayah persekutuan terbabit.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, larangan terbabit berkuatkuasa serta-merta dan ia adalah langkah pencegahan varian terbabit daripada merebak ke negeri ini.

“Berikutan kewujudan varian India yang dikesan di Labuan, kerajaan negeri menyekat pergerakan orang awam untuk memasuki ke Labuan dan begitu juga sebaliknya di mana orang awam dari Labuan juga disekat untuk memasuki negeri Sabah.

“Bagaimanapun pengecualian dibenarkan bagi pergerakan yang berkaitan dengan perkhidmatan perlu dan barangan keperluan, keselamatan dan kesihatan serta telah mendapat kebenaran khas dalam usaha menyekat varian tersebut menular ke negeri Sabah.

“Selain itu, pengangkutan feri awam juga hanya bagi keperluan perkhidmatan perlu dan barangan keperluan sahaja.

“Permohonan kebenaran bagi pasangan jarak jauh juga tidak akan dipertimbangkan bermula 28 Mei hingga 7 Jun ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan kes pertama membabitkan rakyat tempatan yang positif Covid-19 varian India B.1.617.2.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan membabitkan kontak rapat kepada seorang individu warga India yang bersama dengannya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 23 April lalu.

Sumber: My Metro