Velodrom Dungun Mula Digunakan Bulan Depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Velodrom Du­ngun di Kampung Balai Besar, Dungun dekat sini yang siap dibina tahun lalu dijangka mula digunakan secara rasmi bermula bulan depan.

Kelewatan itu berlaku selepas beberapa bahagian pada trek velodrom terbabit didapati membahayakan ketika sesi ujian yang dijalankan pelumba, pertengahan Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerja-kerja pembaikian venue itu kini sedang giat dijalankan oleh kontraktor terlibat.

“Hasil daripada perlumbaan ujian oleh atlet pada Januari lalu, antara masalah yang timbul adalah permukaan trek konkrit itu didapati agak beralun menjadikannya tidak sesuai untuk digunakan.

“Berdasarkan perjanjian, sebarang kecacatan pada projek ini harus dibaiki selewat-lewatnya Mac 2023. Jadi kita jangka tempoh itu dipatuhi dan Velodrom Dungun akan dibuka pada April.

“Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) telah me­rancang satu kejohanan tidak lama lagi sebagai tanda velodrom itu selamat kepada pelumba,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Untuk rekod, velodrom yang turut digelar Velodrom Azizulhasni Awang itu mula dibina pada 2010 dengan kos keseluruhan dianggarkan mencecah hampir RM11.8 juta.

Sumber: UTUSAN