Vida Nanti ‘Panggilan’, Zamsaham Tunggu Kelapangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Vida menegaskan beliau kini hanya menunggu ‘panggilan’ daripada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bagi membincangkan lebih lanjut mengenai pengambilalihan kelab itu.

Usahawan kosmetik itu menjelaskan bahawa beliau sudah melakukan apa yang diminta Norizam sebelum ini iaitu mengemukakan surat rasmi sekiranya benar-benar berminat mahu membeli The Red Warriors (TRW).

Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman memaklumkan kepada BH Sukan bahawa setakat ini Norizam masih belum menghubunginya untuk menetapkan tarikh pertemuan.

Beliau mengakui risau sekiranya proses pengambilalihan itu lambat dibincangkan hingga tempoh jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M) berakhir 1 Ogos ini.

Katanya, beliau juga hanya akan memikirkan mengenai berapa ‘tanda harga’ sesuai buat Kelantan FC apabila mendapat maklumat lanjut selepas pertemuan dengan Norizam walaupun pemilik TRW itu memberi bayangan kelab berkenaan bernilai lebih RM5 juta.

“Kita tengok macam mana keadaan ‘barang’ (pasukan) yang boleh ditawarkan kepada kita, selepas itu barulah kita boleh bincang mengenai harga. Bila jumpa (dengan Zamsaham) kita bawa peguam terus, apa-apa nanti senang.

“Sekarang ini saya hanya menunggu maklum balas daripada Norizam untuk menetapkan tarikh pertemuan bagi berbincang lebih lanjut dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai keadaan sebenar pasukan.

“Apa yang kita risau jika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) berakhir dan tak sempat untuk memperbaiki pasukan bagi memberi saingan lebih baik dalam liga,” katanya.

Kelmarin, Zamsaham dilaporkan berkata mana-mana individu yang mahu mendapatkan Kelantan tidak perlu ‘sembang’ jika hanya ada dalam lingkungan RM5 juta.

Malah, Zamsaham turut mendedahkan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan sebagai individu yang turut berminat untuk mengambil alih kelab itu, selain Vida.

Zamsaham juga menjelaskan beliau akan mengatur pertemuan dengan Vida dan Erfan selepas proses pendaftaran pemain baharu Kelantan minggu ini.

“InsyaAllah selepas pendaftaran pemain baru Kelantan FC minggu ini dan ada kelapangan, saya atau wakil akan berjumpa dengan Datuk Seri Vida dan saudara Erfan Akif.

“Saya akan maklumkan hal ini pada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan belum putuskan apa-apa lagi. Saya masih kekal pemegang saham terbesar dalam Kelantan FC. Mana yang terbaik dan menang-menang saya akan putuskan dan maklumkan pada semua,” katanya.

– BERITA HARIAN