HANOI – Skuad futsal negara berdepan tugas sukar untuk membawa pulang pingat dari Sukan SEA 2021 selepas tewas 7-1 kepada pasukan tuan rumah, Vietnam di Stadium Tertutup Ha Nam, di sini, sebentar tadi.
Ia adalah kekalahan besar kali kedua berturut-turut yang dialami skuad kendalian Chiew Chun Yong selepas kecundang 6-2 di tangan Thailand pada aksi pertama, Rabu lalu.
Aksi Vietnam dan Malaysia bermula sengit apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 seawal minit kedua hasil jaringan Nguyen Minh Tri dan Ekmal Shahrin.
Namun, selepas itu segalanya lebih memihak kepada Vietnam apabila mereka berjaya mendapatkan dua gol menerusi jaringan Nguyen Thinh Phat pada minit kelima dan 12.
Gawang skuad negara kemudian bocor lagi dalam tempoh satu minit selepas Le Quoc Nam dan Nguyen Manh Dung meledak gol pada minit ke-18 dan 19.
Pesta gol tuan rumah diteruskan pada minit ke-37 dengan Thinh Phat melengkapkan hatrik sebelum Minh Tri mengesahkan kemenangan bergaya pasukannya apabila meledak gol ketujuh ketika perlawanan memasuki minit ke-38.
Dalam satu lagi perlawanan, Indonesia yang terikat 1-1 dengan Vietnam pada aksi pertama sebelum ini, membelasah Myanmar 6-0 untuk berada di tangga kedua dan berkongsi empat mata bersama Vietnam yang menghuni kedudukan teratas.
Malaysia pula di tangga tercorot tanpa sebarang mata, manakala Thailand yang mengharungi satu perlawanan di kedudukan ketiga dengan tiga mata.
Skuad futsal negara akan meneruskan aksi menentang Indonesia, Isnin ini sebelum berdepan Myanmar pada 20 Mei dengan saingan dijalankan secara format liga sepusingan.
Sumber: BERITA HARIAN