Wabak ASF: 91 Babi Hutan Mati di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 91 babi hutan di sekitar kawasan hutan Air Putih dekat Kemaman, disahkan mati akibat penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Anum Man berkata kematian beberapa haiwan itu mula dikesan pada 21 Jun lepas dan pihaknya telah mengambil sampel babi tersebut.

“Hasil pemeriksaan sampel itu diketahui seminggu kemudian dan mendapati punca kematian adalah disebabkan ASF,” katanya kepada Bernama hari ini.

ASF adalah penyakit wajib lapor yang diwartakan di bawah Seksyen 31, Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) (Akta 647), dengan setiap pemilik atau orang bertanggungjawab ke atas haiwan atau ternakan yang telah dijangkiti atau disyaki berpenyakit, boleh didenda tidak melebihi RM25,000 jika gagal melaporkannya kepada pihak berkuasa veterinar.

Anum berkata setakat ini, tiada kes melibatkan ladang babi komersial di Terengganu namun pihaknya tetap memantau penularan wabak penyakit tersebut kerana kadar jangkitannya adalah sangat tinggi.

“Kesemua babi yang telah mati, kami telah lupuskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu dengan menanam bangkai dan melakukan proses nyah kuman.

“Kami juga bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk membuat kawalan dan pemantauan di sekitar 10 kilometer dari lokasi penyakit tersebut dikesan agar ia tidak menular ke kawasan lain,” katanya.

Sumber: BERNAMA