Wahid Satay Meninggal Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA – Pelakon dan pelawak veteran terkenal, Wahid Satay, 93, meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis dan penyakit jantung di kediaman anaknya di Singapura, pukul 8.30 pagi tadi.

Berita kematian Wahid atau nama lengkapnya, Abdul Wahid Ahmad disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah menerusi kenyataan akhbar.

Urusan mandi dan solat jenazah akan disempurnakan di Masjid Pusara Aman sekitar pukul 2 petang sebelum pengebumian di tanah perkuburan Islam di masjid sama sekitar pukul 4 petang ini.

Arwah yang terkenal dengan naskhah genre lawak jenaka membintangi puluhan filem sejak berkecimpung dalam industri seni pada 1957 termasuk Pak Pandir Moden, Jula Juli Bintang Tiga, Masuk Angin Keluar Asap, Serangan Orang Minyak dan Chuchu Datok Merah selain Che Mamat Parang Tumpul serta Badang.

Seniman legenda ini pernah mendapat jolokan Jerry Lewis Malaya ketika bernaung di bawah Studio Cathay Keris.

Filem terakhir lakonan arwah adalah Senario XX (2005) yang diarahkan oleh pengarah dan penerbit filem, Aziz M. Osman.

– UTUSAN