Waktu Adalah Amanah Yang Akan Ditanya Kelak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kita sentiasa merasa masih mempunyai waktu yang masih panjang. Sekejap lagi masih ada, esok masih ada. Minggu depan masih ada. Bulan depan masih ada.

Lalu ia membuat kita hidup dalam keadaan selesa tanpa memikirkan persediaan yang perlu dilakukan terutamanya dalam memperbaiki diri, amalan serta apa jua yang melibatkan orang lain.

Waktu amat berharga dalam kehidupan manusia. Waktu terasa berharga apabila ia memberi kesan kepada kehidupan. Contohnya jika seorang pelabur lambat bertindak, dia mungkin akan mengalami kerugian. Jika seorang anggota bomba lambat bertindak, mungkin ada nyawa yang tidak sempat diselematkan.

Pokoknya, masa akan dilihat berharga jika kita sendiri yang merasakan kesan buruk akibat membazirkan masa, dan kebiasaannya kita akan lebih terasa jika kesannya mampu dilihat dan dirasakan oleh pancaindera.

Namun, bagaimana pula dengan hal-hal seperti penambahbaikan diri sendiri serta bekalan amalan ibadah untuk kehidupan akhirat.

Masa yang kita sebutkan sebagai saat, minit, jam mahupun hari ini hakikatnya adalah makhluk Allah jua.

Hari yang baru tiba berkata kepada anak Adam sebagaimana yang diriwayatkan; telah berkata al-Imam Hassan al-Basri,

“Wahai Anak Adam, aku (hari baharu) adalah ciptaan baru. Aku menjadi saksi atas amalanmu. Berbekal lah daripadaku dengan amal salih. Kerana aku tidak akan kembali sehingga hari Kiamat”

Ada pendapat mengatakan atsar ini marfu’ sehingga Rasulullah SAW.

Allah telah bersumpah dengan masa dalam Surah Al-Asr dengan mengatakan “Demi Masa! Sesungguhnya manusia berada dalam keadaan rugi”

“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Justeru, usah leka dengan masa. Tanamkan dalam diri bahawa masa juga adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu dijaga dan akan ditanyakan semula di akhirat kelak. Semoga waktu dan hari yang kita lalui dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam mewujudkan kehidupan yang berkualiti serta diberkati. InsyaAllah.

Sumber: TZKRH.COM