Wanita Atas Jambatan Putrajaya Hanya Mahu Menenangkan Perasaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Keberadaan seorang wanita di atas Jambatan Wawasan Presint 2 di sini, semalam, bukan berniat untuk membunuh diri sebaliknya untuk menenangkan perasaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan polis mendapati wanita yang berumur 30-an itu tertekan kerana keputusan mahkamah ke atas satu tuntutan sivil tidak berpihak kepadanya dan dia dikehendaki membayar sejumlah wang atas keputusan tersebut.

Katanya, wanita tersebut pergi ke jambatan berkenaan kira-kira 11 pagi semalam dan orang awam yang melalui jambatan melihat mangsa dalam keadaan menangis dan berjaya memujuknya.

“Pihak polis mendapat makluman daripada panggilan MERS 999 dan membawa wanita itu ke Balai Polis Presint 7 untuk siasatan lanjut.

“Pihak keluarga mangsa dipanggil untuk membantu siasatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan menghubungi pihak berwajib sekiranya mempunyai sebarang masalah serta tidak mengambil tindakan secara melulu.

Terdahulu, tular sebuah video TikTok yang menunjukkan wanita sedang menangis dan berada dalam keadaan mencurigakan di atas jambatan namun ketika ini, video itu sudah dipadamkan.

Sumber: METRO