Bentong: Seorang wanita warga asing ditahan selepas didapati menggunakan borang rentas negeri palsu di sini, Selasa lalu.
Wanita berusia 38 tahun itu ditahan menerusi pemeriksaan sebuah bas ekspres di sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika kejadian, anggota menahan sebuah bas ekspres yang membawa 16 penumpang.
Beliau berkata, bas itu dalam perjalanan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala ke Kuantan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang penumpang wanita itu menggunakan dokumen yang dipalsukan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita itu mendakwa mendapatkan borang rentas negeri daripada salah seorang rakannya.
“Setelah kita menghubungi balai polis yang mengeluarkan borang rentas negeri, tiada nombor siri seperti dinyatakan dalam borang itu.
“Wanita kemudian mengakui menggunakan salinan borang yang diperoleh daripada seorang rakannya,” katanya.
Susulan kejadian katanya, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sumber: My Metro