Warga emas 120 tahun teruja suntik vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: “Saya teruja apabila dipanggil untuk temujanji suntikan vaksin kelmarin, Alhamdulillah ia selesai sekejap sahaja,” kata Siti Liah Mamat, 120, selepas menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini.

Siti Liah yang berusia lebih satu abad dibawa ke PPSV dengan menaiki kenderaan Hospital USM sambil ditemani anak serta cucunya.

Katanya, mereka yang belum menerima suntikan vaksin perlu segera mendaftar dan tidak perlu takut untuk mendapatkan vaksin sebagai pelindung diri memandangkan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Saya sendiri menyuruh cucu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera kerana menyedari betapa pentingnya suntikan ini apatah lagi saya sudah lanjut usia dan mudah terdedah kepada risiko.

“Saya tidak sangka dapat suntikan vaksin dalam tempoh singkat dan semuanya berjalan lancar.

“Saya berharap orang ramai terutama golongan warga emas seperti saya tidak meletakkan pandangan negatif mengenai suntikan vaksin kerana ia akan menjejaskan pendirian seseorang untuk mendapatkan suntikan ini,” katanya.

Media sebelum ini pernah melaporkan, Siti Liah Mamat masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun sudah berusia melebihi satu abad selain memiliki pendengaran baik dan daya penglihatan masih jelas tanpa perlu berkaca mata.

Amalan bersedekah dan minum air putih antara rahsia yang dikongsi ibu kepada 12 anak, 48 cucu serta 44 cicit ketika ditanya mengenai petua penjagaan diri walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Hospital USM Dr Shahrizal Mustaffa berkata, fasa kedua yang mendapatkan suntikan itu adalah golongan berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit.

“Disebabkan itulah, Hospital USM dipilih sebagai PPV khas yang mengutamakan pesakit berisiko datang mendapatkan suntikan vaksin.

“Kami sangat teruja hari ini apabila PPV menerima warga emas berusia 120 tahun yang mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Sumber: My Metro