KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, warga emas dinasihat untuk mendapatkan vaksin dan dos penggalak COVID-19 sebagai perlindungan diri terutamanya ketika menjelang Ramadan ini.
Menerusi Twitter Khairy, beliau berkata pengambilan suntikan tersebut sangat penting kerana pada bulan puasa nanti ramai warga emas dijangka keluar ke masjid untuk menunaikan ibadah solat sunat tarawih.
“Mesej ini juga amat penting apabila menjelang bulan puasa. Mungkin orang tua kita tidak ke mana-mana sekarang tetapi apabila tiba Ramadan mereka akan beramai-ramai pergi solat tarawih. Elak ‘top-up’ perlindungan mereka dengan ‘booster’. Kita ikhtiar dan tawakal kepada Allah,” ujarnya.
Khairy juga memaklumkan sebanyak 105 kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dan warga emas yang tiada vaksinasi atau dos penggalak merupakan golongan yang amat berisiko tinggi.
“Kapasiti hospital atau unit rawatan rapi (ICU) adalah terkawal tetapi saya juga mahu kadar kematian juga terkawal.” Tambah beliau lagi.
Berdasarkan graf dalam ciapan tersebut, data bagi setiap 100,000 populasi mengikut status vaksinasi semalam telah menunjukkan kematian tertinggi dicatatkan golongan yang tidak divaksinasi bagi setiap peringkat umur.
Sumber: BERNAMA