Warga emas, kanak-kanak tak dibenar ke bazar Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tidak membenarkan warga emas dan kanak-kanak mengunjungi bazar Ramadan di daerah itu berkuat kuasa hari ini.

Datuk Bandarnya Datuk Hamdan Hussin berkata, keputusan itu dilaksanakan dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19 yang menunjukkan peningkatan di daerah itu.

Katanya, pada masa sama, peniaga dan pengunjung diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berada di bazar.

“Bukan sahaja peniaga, malah pengunjung perlu lebih berdisiplin kerana kita tidak mahu berlaku kes Covid-19 di bazar Ramadan.

“Ketika beratur, penjarakan fizikal satu meter perlu dipatuhi,” katanya kepada media selepas Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Pesisiran Pantai di pantai Sepat, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid.

Pada Ramadan tahun ini, MBK meluluskan 26 lokasi bazar Ramadan beroperasi di sekitar daerah itu.

Mengulas mengenai penggunaan sistem nombor di bazar Ramadan, beliau berkata, ia dilaksanakan untuk mengawal jumlah pengunjung dan mengelak berlaku kesesakan pada satu-satu masa.

“MBK juga akan sentiasa membuat pengumuman dan melakukan pemantauan untuk memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pelanggaran SOP boleh menyebabkan peniaga dikenakan kompaun atau lesen perniagaan dibatalkan,” katanya.

Sumber: My Metro