Warga Emas Pesakit COVID-19 Terbabit Kemalangan Meninggal Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CHUKAI – Warga emas yang juga pesakit COVID-19 yang terbabit kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua buah ambulans di Setiu jumaat lalu, meninggal dunia semalam.

Anak arwah, Murniyati Harun, 47, berkata, ibunya, Fatimah Jusoh, 74, disahkan meninggal dunia selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu, kira-kira jam 1.30 petang.

“Kami sekeluarga sangat sedih, baru sahaja ayah, Harun Md Zin, 80, meninggal dunia 12 hari lalu, kami sekali lagi diuji dengan pemergian ibu pula.

“Sepanjang hidup, ibu dan ayah sangat bahagia dan tidak pernah berpisah, memang itu sudah suratan yang Allah tetapkan untuk mereka meninggal hampir bersama,” katanya.

Murniyati berkata, selepas kemalangan itu, ibunya yang patah paha kanan dan patah kedua-dua rahang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu.

“Sepanjang mendapat rawatan di HSNZ, ibu itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan alat pernafasan.

“Oleh kerana ibu dijangkiti COVID-19, kami anak beranak tidak dapat melawatnya dan hanya mendapat maklumat berhubung tahap kesihatannya melalui kakitangan hospital,” katanya.

Katanya, ibunya itu disahkan dijangkiti COVID-19 tahap empat di Hospital Kemaman pada Jumaat sebelum dibawa ambulans untuk dipindahkan ke Hospital Setiu.

“Dalam perjalanan itulah ibu terbabit dalam kemalangan itu yang menyebabkan kami sekeluarga susah hati kerana tidak dapat melawatnya.

“Ibu sebelum ini tinggal di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong dan saya ajak dia tinggal bersama saya di Kampung Bukit Kuang Kemaman sejak tahun lalu,” katanya.

Murniyati berkata, ibunya pernah terjatuh dan sejak itu dia tidak boleh berjalan namun masih boleh bercakap.

“Jenazah ibu selamat dikebumikan bersebelahan pusara ayah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuang, kira-kira jam 7 petang semalam,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN