KUANTAN – Seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun kerugian RM1,600 selepas ditipu seorang individu yang menyamar sebagai teman wanitanya pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Sueprintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi suspek melalui aplikasi Facebook Messenger meminta bantuan untuk meminjam wang berjumlah RM1,600.
Menurutnya, percaya individu tersebut teman wanitanya, mangsa membuat pindahan wang dalam jumlah seperti diminta ke akaun ‘wanita’ itu melalui mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah cawangan bank di Bentong.
“Selepas pembayaran dibuat, mangsa menghantar gambar resit bank juga melalui Facebook Messenger sebagai bukti wang telah dimasukkan.
“Selepas menerima wang tersebut, suspek menghubungi mangsa kembali meminta memasukkan RM600 lagi ke akaunnya sehingga menimbulkan kecurigaan warga emas itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Wazir berkata, mangsa tidak menuruti kehendak ‘wanita’ tersebut sebaliknya terus menghubungi rakannya (individu sebenar) untuk bertanya mengenai perkara tersebut.
“Temannya menafikan ada menghantar pesanan untuk meminjam wang dan mangsa syak telah ditipu lalu membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada hari yang sama,”katanya.
Tambahnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian