KUANTAN: Warga emas dinasihatkan tidak perlu bimbang dan khuatir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 memandangkan ada dalam kalangan mereka menolak disuntik disebabkan terpengaruh dengan berita-berita palsu kononnya memberi kesan sampingan yang boleh memudaratkan.
Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Daerah, Dr Rashidah Abdul Rahman berkata, terdapat juga segelintir penjaga dan waris turut menolak pemberian vaksin yang ditawarkan kepada warga emas sedangkan vaksin itu telah pun disahkan selamat.
Menurutnya, tindakan sedemikian dikesali kerana golongan itu perlu dibantu dengan segera menerima vaksin kerana risiko dijangkiti virus ini adalah tinggi.
“Perkara tersebut tidak perlu ditakutkan dan mereka harus mendapatkan maklumat yang betul daripada pihak yang mempunyai pengetahuan berkaitan vaksinasi.
“Memang ada waris yang tidak bersetuju dan menolak vaksin ditawarkan kepada warga emas disebabkan takut dengan kesan sampingan, ini berlaku kerana mereka mendapat maklumat tidak betul mengenai vaksin terutama melalui media-media sosial.
“Jika perkara seperti ini masih berterusan ia bakal memberi kesan terhadap usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini,” kata beliau semasa program suntikan vaksin dos kedua oleh Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan,kepada kira-kira 30 penghuni Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) semalam.
Seramai 254 penghuni warga emas yang ditempatkan di 14 buah rumah jagaan orang tua di daerah ini dijangka melengkapkan dua dos vaksin jenis Pfizer, yang telah dilaksanakan sejak 3 Mei lalu.
Sementara itu, unit vaksinasi bergerak ini turut melakukan proses suntikan vaksin kepada penghuni rumah jagaan orang kurang upaya (OKU).
Beberapa warga emas yang ditemui berasa bersyukur diberi peluang menerima vaksin kerana ia merupakan salah satu cara untuk memerangi penularan Covid-19.
Seorang warga emas, Zainal Ariffin Zainuddin, 65, yang menerima suntikan vaksin dos kedua berkata, usah terpengaruh dengan berita-berita palsu yang ditularkan di media sosial kerana ia dihasilkan oleh mereka yang tidak mempunyai kredibiliti.
“Mereka yang menyebarkan berita palsu itu bukanlah tergolong dalam kumpulan profesional, lebih baik jika kita hanya berpegang kepada maklumat sahih yang diberikan orang yang lebih layak.
“Jadi saya memang tidak ambil kira lebih-lebih lagi ketika komen menakutkan di media sosial. Alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang masalah dan kini sudah pun mengambil dos kedua,”katanya.
Syed Ahmad Syed Zin,78, pula berkata, tidak ada kesan sampingan dialaminya selepas suntikan dos pertama pada awal Mei lalu.
“Setakat demam sikit itu, biasalah, lagi pun kita sudah berusia, selalu juga demam. Namun, kalau kesan sampingan lain, memang tidak ada,”katanya
Menurutnya, pada awalnya dia memang berasa khuatir juga selepas membaca pelbagai cerita yang dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp tentang kesan selepas menerima vaksin Covid-19.
“Namun selepas dapat penjelasan oleh mereka yang lebih pakar saya sangat yakin bahawa inilah yang terbaik untuk kita semua,”katanya.
Sumber: Utusan Malaysia