Warga emas ulang alik pikul 150 kg durian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kuala Nerus: Demi keluarga, seorang pemilik dusun durian berusia 64 tahun mengerah keringat memikul lebih 150 kilogram (kg) durian secara berulang alik dari kebunnya setiap hari di Kampung Lingai, Batu Rakit, di sini.

Biarpun berstatus warga emas, Mamat Yahya tidak sedikitpun menunjukkan keletihan melakukan kerja berkenaan sebaliknya dianggap berbaloi apabila raja buah dari dusun milik keluarga yang diusahakan sejak tahun 70-an itu mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar durian di negeri ini.

Menurut bapa kepada tujuh anak itu, dia bersyukur dengan hasil jualan durian itu dia mampu menyara dan memberi pendidikan kepada anak-anak sehingga empat daripada tujuh anaknya berjaya mencecah ke menara gading.

“Dusun saya terletak di cerun bukit dan disebabkan itu terpaksa memikul lebih 40 kg durian dari dusun secara berulang alik sebanyak empat kali sebelum menggunakan motosikal untuk turun ke kaki bukit.

“Alhamdulillah, tahun ini durian menjadi dan setiap hari sekitar 80 biji yang gugur habis dijual dalam masa sehari,” katanya ketika ditemui di dusunnya, di Kampung Lingai, di sini, hari ini.

Mamat yang lebih dikenali dengan panggilan Che Rani atau Pak Rani berkata, pada awal musim durian gugur iaitu pada akhir bulan lalu, dia mendapat hasil jualan sehingga mencecah RM700 sehari dan akhir-akhir ini jualannya hanya sekitar antara RM200 hingga RM300 sehari.

Menurutnya, dia tidak pasti kenapa durian kampung berkenaan mendapat permintaan tinggi, namun tidak menolak kemungkinan disebabkan isinya yang kuning dan berlemak serta dikatakan setanding Musang King dan Duri Hitam.

Mamat berkata, setiap hari rutinnya bermula jam 7 pagi dengan pergi ke dusun dan turut dibantu dua anak kembarnya, Hassan dan Hussin.

Mamat Yahya, 64 atau lebih dikenali Che Rani memikul durian di cerun bukit ketika dtemui  dusunnya di Kampung Lingai, Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI

Sumber: My Metro