Kita sering melihat di dalam media sosial orang mencaci, menghina dan memfitnah seolah-olah tiada rasa takut bahawa semua itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari Akhirat kelak. Oleh itu, berhati-hatilah supaya kelak kita tidak menjadi orang yang muflis di sana nanti.
Di dunia, orang muflis adalah orang yang tidak berupaya membayar hutang. Orang muflis juga disebut sebagai bankrap. Kebiasaannya orang muflis tidak memiliki apa-apa harta kerana semuanya diambil sebagai tebusan bagi melunaskan hutangnya.
Muflis di dunia tidak seteruk muflis di akhirat. Ini kerana muflis di akhirat jauh lebih menyeksakan daripada muflis di dunia. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada sahabatnya: “Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?”
Sahabat menjawab: “Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda.”
Rasulullah SAW membalas: “Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada hari Kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dahulu selalu mencaci maki orang ini, menfitnah orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini.
Maka, diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya. Sekiranya pahala kebaikannya sudah habis sebelum selesai ditunaikan semua tuntutan ke atasnya, akan diambil pula daripada dosa mereka, lalu dilemparkan pula ke atasnya. Kemudian akhirnya, dia akan dihumbankan ke neraka.” (Riwayat Muslim)
Istilah muflis yang sedia difahami oleh sahabat RA digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menggambarkan keadaan seseorang pada hari Akhirat menerima nasib lebih teruk daripada muflis dunia, iaitu apabila pahala kebaikannya diambil orang sehingga habis tiada apa yang tinggal.
Malah, itu pun belum dapat menyelesaikan semua tuntutan dan hak orang yang disakiti atau dizaliminya. Semua amal kebaikan yang dilakukannya semasa di dunia dahulu tidak lagi dapat menyelamatkannya daripada azab Allah SWT.
Bagi mengelakkan kita dari menjadi muflis di akhirat nanti, kita perlu sentiasa muhasabah diri daripada menzalimi atau menyakiti orang lain walaupun dalam hal kecil atau remeh. Mendiamkan diri daripada melakukan sebarang keburukan adalah suatu amalan yang akan diganjari pahala. Ia adalah amalan yang paling mudah bagi setiap Muslim.
Pernah seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, manakah amal yang paling utama?” Baginda menjawab: “Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan Allah.”
Dia bertanya lagi: “Bagaimana jika aku tidak mampu?” Baginda bersabda: “Tahanlah dirimu daripada melakukan keburukan, sesungguhnya itu adalah suatu sedekah yang engkau sedekahkan ke atas dirimu sendiri.” (Riwayat Ahmad)
Sekiranya kita pernah melakukan kesalahan terhadap seseorang, segeralah memohon kemaafan daripadanya serta kembali bertaubat kepada Allah SWT. Bersihkanlah hati daripada sifat hasad dengki, cemburu dan benci terhadap orang lain hanya disebabkan hal keduniaan.
Ini disebabkan penyakit hati merupakan punca kepada banyak kerosakan yang berlaku dalam masyarakat manusia.
Di akhirat, harta sudah tidak lagi bermanfaat kerana semua perbicaraan hutang piutang dijalankan menggunakan pertukaran amal, sama ada amal kebaikan atau amal kejahatannya.
Maka, berhati-hatilah supaya pahala kita tidak berkurangan diambil orang atau kita nanti terpaksa pula memikul dosanya.
Sumber: HARIAN METRO