World Heath Organisation (WHO)telah mengarahkan pasukan di seluruh Syria untuk mengusahakan program vaksinasi yang akan dilaksanakan.
Pelaksanaan itu akan diadakan di semua wilayah sama ada di wilayah yang diuruskan pemerintah atau wilayah di luar pemerintahan negara, mungkin pada bulan April.
Dr Akjemal Magtymova, wakil WHO di Damsyik, memberitahu program COVAX organisasi itu merancang untuk mengimunisasi 5 juta rakyat Syria iaitu sebanyak 20% penduduk di seluruh pelusuk negara walaupun masih berlaku konflik yang kini memasuki tahun ke-11.
“Kami sedang menyiapkan rancangan pengagihan vaksin dengan kementerian kesihatan untuk memastikan program ini berjalan dengan baik,” kata Magtymova.
Tambahnya lagi, keutamaan yang pertama adalah memvaksinasi pekerja kesihatan berisiko tinggi, pekerja sosial dan yang paling terdedah dengan risiko virus.
Sebahagian besar rakyat Syria tinggal di kawasan yang sekarang berada di bawah kawalan pemerintah, tetapi pemberontak masih menguasai kawasan di barat laut dan pentadbiran yang dipimpin Kurdi menguasai sebahagian besar wilayah timur laut.
Dianggarkan seperempat penduduk di Syria menjadi pelarian, dan mereka tinggal di banyak kem.
Gabungan GAVI, kumpulan yang mengetuai COVAX dengan WHO, memberitahu minggu lalu mereka bercadang memberikan 2.3 bilion vaksin di seluruh dunia pada akhir 2021, termasuk 1.8 bilion dos percuma ke negara berpendapatan rendah.
“Saya sangat berharap akan (bermula) pada bulan April tetapi mungkin memakan masa lebih lama bergantung pada banyak faktor,” kata Magtymova kepada Reuters melalui wawancara telefon dari Damsyik, berdasarkan rancangan untuk melancarkan program vaksin di Syria.
Seperti negara lain yang sedang menunggu vaksin melalui COVAX, Syria juga dapat memperoleh bekalan langsung dari syarikat. Tetapi setakat ini pihaknya belum mengumumkan perjanjian dua hala tersebut. Pegawai kesihatan menyatakan bahawa Damsyik telah mengadakan perbincangan dengan Rusia dan China mengenai bekalan vaksin.
Magtymova memaklumkan bahawa bekalan vaksin yang selamat dan berkesan yang akan diperoleh Syria akan membantu menjadikan vaksin lebih mudah diakses.
WHO tidak mempunyai peranan dalam perjanjian dua hala tersebut.