GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengutuk tindakan terdesak negara kaya memberi dos penggalak vaksin COVID-19 ketika jutaan penduduk dunia masih belum menerima sebarang suntikan.
Pakar WHO menegaskan tiada data saintifik yang kukuh bagi membuktikan dos penggalak diperlukan ketika ini.
Penegasan itu disuarakan sebelum pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penduduk mereka yang layak divaksinasi akan segera menerima dos tambahan.
Pakar berpendapat pemberian dos penggalak ketika ramai masih menunggu untuk menerima vaksin adalah tindakan tidak bermoral.
“Kita merancang untuk memberikan jaket keselamatan tambahan kepada individu yang sudah memiliki jaket keselamatan, sementara kita meninggalkan orang lain untuk lemas tanpa jaket keselamatan,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan kepada wartawan di Geneva.
Awal bulan ini, WHO mendesak penangguhan dos penggalak bagi membantu mengurangkan ketidaksamaan taburan dos antara negara kaya dan miskin.
Bagaimanapun desakan itu tidak menghentikan tindakan beberapa negara maju untuk meneruskan suntikan penggalak, ketika organisasi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berusaha untuk mengekang penularan varian Delta di seluruh dunia.
Pihak berkuasa AS memberi amaran keberkesanan vaksinasi COVID-19 semakin berkurangan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu AS meluluskan suntikan dos penggalak untuk penduduknya yang layak divaksinasi mulai 20 September.
Washington telah memberikan dos tambahan kepada individu yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah.
Israel juga telah mula memberikan dos ketiga kepada rakyatnya yang berusia 50 tahun ke atas.
Pakar WHO menegaskan tiada bukti kukuh mengenai dos penggalak dan menegaskan keutamaan untuk menyegerakan suntikan vaksin di negara berpendapatan rendah jauh lebih penting.
“Yang jelas adalah penting untuk mendapatkan suntikan pertama dan melindungi golongan paling rentan sebelum vaksinasi penggalak dilancarkan,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media semalam.
“Jurang antara pihak yang memiliki dan tidak, hanya akan bertambah besar jika pengeluar dan pemimpin mengutamakan suntikan penggalak daripada bekalan ke negara berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya. – AFP
Sumber: Berita Harian