WHO sasar tamatkan kecemasan COVID-19, Mpox 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap COVID-19 dan Mpox atau cacar monyet tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan awam tahun depan.

Ia mengambil faktor bahawa kedua-dua penyakit itu sudah mengakhiri fasa paling berbahaya.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pengajaran utama yang boleh diambil daripada pandemik COVID-19 adalah negara terpaksa memberi tindak balas cepat untuk membendung pandemik.

Beliau berkata ketika ini kadar kematian mingguan akibat COVID-19 sekitar satu perlima daripada jumlah kematian setahun lalu.

“Minggu lalu, kurang 10,000 orang kehilangan nyawa. Angka 10,000 itu masih terlalu tinggi dan masih banyak yang boleh dilakukan negara untuk menyelamatkan nyawa.

“Tetapi kita telah melangkah jauh. Kami berharap pada satu ketika tahun depan, kami akan dapat mengumumkan bahawa COVID-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global,” katanya pada sidang media.

Tambahnya, jawatankuasa kecemasan WHO yang menasihati beliau mengenai pengisytiharan Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) akan membincangkan bagaimana keadaan fasa akhir kecemasan apabila mereka bertemu bulan depan.

“Virus tidak akan lenyap. Ia akan kekal dan semua negara perlu belajar bagaimana untuk menguruskannya bersama penyakit respiratori lain.

“Kita masih berdepan banyak ketidaktentuan dan cabaran pada 2023. Hanya satu daripada lima orang di negara berpendapatan rendah sudah divaksin.

“Akses kepada diagnostik dan rawatan menyelamatkan nyawa untuk COVID-19 tidak dapat diterima, tidak mampu dan tidak sama rata. Beban pasca COVID-19 hanya mungkin meningkat dan jurang besar dalam pengawasan kekal,” katanya.

Mengulas mengenai Mpox, beliau berkata ia wabak global yang mengejut dunia apabila lebih 82,000 kes dilaporkan di 110 negara dengan kadar kematian kekal rendah iaitu hanya 65 kematian. – AFP

Sumber: BERITA HARIAN