MESKIPUN kes Covid-19 masih belum menampakkan penurunan di Malaysia namun 44 peratus atau 1.05 juta rakyat negara ini mempunyai perancangan percutian pendek menurut kajian dilakukan Finder Travel Index.
Angka itu mencatatkan kenaikan berbanding 39 peratus sebulan lalu.
Dalam kajian itu, 31 peratus golongan dewasa di Malaysia bercadang untuk bercuti di dalam negara pada Mei, Jun atau Julai berbanding 28 peratus yang membuat perancangan serupa pada April, Mei dan Jun.
Angka mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan ke luar negara juga turut memperlihatkan peningkatan dari 15 peratus ke 18 peratus.
Menurut Editor di Finder, Angus Kidman, angka rakyat Malaysia bercadang untuk bercuti adalah paling tinggi berbanding negara-negara lain dalam kajian itu.
“Ini adalah bulan kedua berturut-turut Malaysia menunjukkan angka peratusan tertinggi yang bercadang untuk bercuti jangka pendek berbanding negara lain seperti India dan Filipina.
“Bulan Mei sahaja, hampir suku daripada rakyat Malaysia merancang untuk bercuti di dalam negara. Namun peratusan itu menurun pada Jun dan Julai iaitu pada kadar 8 peratus dan enam peratus.
“Rakyat negara ini mengambil peluang untuk membuat perjalanan di dalam negara pada Mei berikutan percutian hari raya,” katanya.
Bagaimanapun kata Angus, dengan perubahan SOP oleh kerajaan, akan menentukan sama ada percutian itu dapat dilakukan.
“Data kami menunjukkan bahawa rakyat Malaysia berharap mereka dapat melakukan perjalanan untuk bercuti,” ujarnya.
Finder Travel Index adalah kajian berterusan yang sehingga kini mendapat maklum balas daripada 88,966 orang di 19 buah negara.
Berikut adalah peratusan perancangan untuk bercuti pada May, Jun dan Julai di seluruh dunia.
Malaysia (44.36%)
India (41.15%)
Filipina (38.58%)
Itali (37.83%)
Russia (36.59%)
Perancis (35.71%)
Belanda (29.43%)
Hong Kong, SAR (28.64%)
Amerika (25.77%)
United Kingdom (23.65%)
German (22.47%)
Ireland (22.18%)
Afrika Selatan (21.63%)
Brazil (21.18%)
Australia (20.87%)
Sepanyol (20.84%)
New Zealand (19.60%)
Singapura (19.33%)
Kanada (16.49%)
Sumber: mStar