PERALIHAN Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, memperlihatkan banyak sektor ekonomi dan bukan ekonomi dibuka atau dilonggarkan. Justeru, masjid dan surau memerlukan prosedur operasi standard (SOP) baharu lebih mesra jemaah selepas sekian lama tidak diimarahkan.
Dengan melihat kelonggaran rentas daerah dan aktiviti kekeluargaan semakin ‘bebas,’ tiba masanya pihak berkuasa melonggarkan SOP di masjid dan surau sekurang-kurangnya solat Jumaat. Peningkatan jumlah jemaah tentu boleh dibuat mengambil kira premis seperti pawagam sudah dibenarkan beroperasi semula.
Sebelum ini, bilangan jemaah diizinkan ke masjid dihadkan antara 30 hingga 100 jemaah berbeza mengikut jenis dan saiz surau serta masjid. Jumlah terbabit perlu dinilai semula atau ditingkatkan sekurang-kurangnya separuh kapasiti masjid selepas dirujuk pakar berkaitan.
Hakikatnya, pematuhan SOP dan disiplin jemaah di masjid dan surau lebih setahun, banyak membantu mengekang penularan wabak, terutama di institusi penting agama itu.
Pada masa sama, SOP ini dilaksanakan dan terbukti berkesan sebelum kempen vaksinasi dijalankan lagi. Oleh itu, disarankan masjid dikekalkan sebagai tempat umum yang boleh dihadiri tanpa syarat sudah mengambil vaksin penuh.
Tanpa menafikan ikhtiar dituntut dalam Islam, kehadiran jemaah tidak mengambil vaksin sebenarnya tidak mengundang bahaya dalam bentuk pasti kepada jemaah lain. Kaedah fiqh jelas menyatakan pertimbangan maslahat atau mudarat itu hendaklah berdasarkan sesuatu pasti, bukan sangkaan lemah, mahupun persepsi.
Dalam hal ini, SOP sudah berperanan mengurangkan risiko itu menerusi pemeriksaan suhu, penjarakan fizikal dan penggunaan sejadah sendiri. Oleh itu, vaksinisasi antara usaha tambahan dalam mengawal risiko jangkitan, tetapi bukan satu kewajipan.
Penilaian SOP juga perlu dibuat dalam konteks penganjuran kuliah ilmu dan majlis akad nikah serta walimah. Ini amat penting bagi menghidupkan kembali tempat ahli kariah mencari ketenangan dan kekuatan rohani, selain secara tidak langsung mengukuhkan kembali ekonomi masjid bagi merancang aktiviti pada masa hadapan.
Hakikatnya, pelaksanaan SOP pada peringkat awalnya dilihat sesuatu ‘luar kebiasaan’ terutama bagi institusi masjid yang selama ini tidak pernah ditutup, mahupun dihadkan bilangannya. Apatah lagi disebabkan ada kalanya SOP berubah-ubah mengikut pindaan pihak berkuasa, kecelaruan maklumat berlaku apabila tidak dikemas kini.
Oleh itu, ahli jawatankuasa (AJK) dan pengurusan boleh diumpamakan sebagai barisan hadapan untuk memastikan SOP dipatuhi. Diakui, dalam melaksanakan amanah itu, kadangkala berlaku salah faham dan isu teknikal mengundang konflik antara mereka dengan jemaah.
Situasi ini menagih kebijaksanaan AJK mengawal dan memastikan diselesaikan dengan baik seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Sumber: Berita Harian