“Berfikir dahulu sebelum memberi komen”

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Apabila hebohnya isu-isu di media sosial, jari jemari pantas ingin memberi komentar mengikut pendapat masing-masing. Ribuan komen mulai muncul dan tular. Diantara ribuan komen itu, tidak sedikit komen yang berupa carutan, makian. hinaan sehingga semakin memburuk. Lebih parah, komen jahat ini sebenarnya berjangkit dan cepat menular. Apabila seorang memulakan carutan maka yang lain akan menyusul seperti pembeli yang mengikut giliran membeli pisang goreng panas.

“Woi bodohnya dia tu, mak bapak tak ajar ke apa”

“Kau confirm ahli neraka, bertaubat pun tuhan takkan terima”

“Dasar anak haram, mati lah kau dalam penjara”

Komen-komen jahat ini sebenarnya bukan sesuatu yang baik dan perlu dihentikan dengan segera. Ia bertentangan dengan sikap peribadi Muslim itu sendiri yang sepatutya mengucapkan perkara yang baik dan menahan marah apabila sabar. Dengan tulisan, keperibadian seseorang itu dapat diterjemahkan secara umum. Tulisan yang menyakitkan  lahir dari hati yang sakit sekaligus  menunjukkan diri yang menulis itu bermasaalah, penuh toksik dan kuat amarah. Setelah menulis komen-komen berbentuk makian, secara tersurat kita merasakan amat puas namun realitinya kepuasan itu sementara dan tidak bertahan lama. Kerana rasa amarah akan sentiasa mencucuk dan sifat panas api akan sentiasa marak jika terus dipanaskan.

Yang menerima komen-komen jahat itu pula mungkin akan terkesan dengan kesan emosi dan mental. Boleh jadi kesalahannya diuar-uarkan sehingga menyebabkan dirinya rasa takut untuk melakukan sesuatu kebaikan. Setiap tingkah lakunya dipandang negatif seakan tidak ada ruang taubat padanya. Kritikan yang sedikit juga akan mencederungkan orang ramai terus menerus mencari kesalahan buruk.

Perlu difahami bahawa kita bukan tuhan untuk menghukum sesiapa namun ruang sentiasa terbuka untuk  kita boleh memberikan panduan dan membimbing seseorang yang berbuat kesalahan.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA daripada Nabi SAW bersabda: “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Hadith riwayat al-Bukhari,No. 10, 6484, Muslim, No. 40)

Melalui hadis ini, dapat kita fahami bahawa seorang Muslim yang sempurna ialah apabila Muslim yang lain tidak terkesan kerana keburukan lidahnya itu. Komen yang baik juga akan memberi sudut pandang yang baik dan terkesan kearah kebaikan buat sesiapa yang membacanya. Dan yang perlu kita fahami adalah kita kritik perbuatannya, bukan dirinya. Justeru, doakan orang yang aibnya telah dibuka Allah agar beroleh kebenaran dan tidak mengulangi kesalahannya.

Bagaimana untuk mengkritik secara baik

Sebagai manusia kita akan sentiasa berhadapan dengan situasi yang membuatkan kita hendak memberi respons. Namun sebelum memberi respons , pastikan kita fikir sebaiknya sebelum memberi reaksi dan sebaiknya setiap reaksi itu perlu mempunyai sifat “ihsan”. Apakah itu ihsan?

Ihsan adalah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya dia sedang melihat kamu. (HR. Abu Hurairah)

Jika kita ingin kritik sesuatu, kritiklah dengan pandangan membina bukan menghukum. Kita mengkritik seseorang untuk lebih maju ke hadapan dan kritikan itu perlu mengikut adab dan aturan yang sebaiknya. Dengan adanya sifat ihsan ini, kita akan lebih berhati-hati mengungkapkan sesuatu meskipun hati meronta-ronta untuk membalas dengan pedih.

Aib manusia lain yang terbuka harus kita ambil iktibar dan menjaga diri kita dengan sebaiknya, bukannya turut menjadi ejen penyebar keburukan. Bahkan aib orang lain perlu mmenjadikan kita lebih bertaqwa dan berazam untuk mendidik diri dan keluarga untuk menjadi orang yang baik dan bermanfaat.

Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” Hadith semakna juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah.  Abu Isa berkata; Ini adalah hadith hasan sahih. (Hadith riwayat at-Tirmizi, No.Hadith : 1987)

Kesimpulannya, dalam surah Al Isra ayat 7 mengungkapkan :

Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesan yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (Surah al-Isra’: 7)

Ingatlah bahawa setiap perbuatan dan tingkah laku kita sentiasa memberi kesan. Ia bermaksud setiap perbuatan itu berantai. Jika kita mengucapkan ucapan yang baik-baik, yang akan tertarik kepada kita adalah benda yang baik-baik. Dan jika kita sering mengungkapkan kejahatan, kejahatan akan terus berusaha menarik kita untuk menjadi lebih jahat.