YAB MENTERI BESAR PAHANG TERUS BANTU SEMUA JKKK SAMA RATA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kesemua 13 Kampung di Dewan Negeri (DN) Beserah menerima cek sumbangan kewangan di bawah Amanah Dana Khas peruntukkan YAB Menteri Besar Pahang berjumlah hampir RM80,000, semalam.

Penyerahan cek berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang di Kampung Sungai Karang.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, sumbangan ini membuktikan YAB Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan BN Pahang mengambil berat semua kawasan JKKK di negeri ini termasuklah di kawasan yang bukan dimenangi BN pada PRU lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama penerima cek sumbangan kewangan di bawah Amanah Dana Khas.

“Semuanya dibantu sama rata, sama adil dan tiada yang tercicir atau dipinggirkan termasuklah di DN Beserah ini.

“Justeru saya mengingatkan semua ketua kampung untuk terus bekerja lebih keras, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul.

“Ketua kampung adalah ‘first hand’ (orang awal) yang akan hidu masalah rakyat dan merupakan barisan kepimpinan penting membantu Kerajaan Negeri dalam memimpin penduduk dan menjaga keselamatan serta kemajuan di kampung,” katanya di sini.

Beliau berkata, ketua kampung hendaklah memastikan segala maklumat adalah tepat untuk disalurkan kepada wakil rakyat di kawasan masing-masing dan harus bertindak dengan cepat menyampaikan maklumat sekiranya terdapat penduduk sedang kesusahan seperti pesakit kronik, kerosakkan rumah akibat ribut, kebakaran, bantuan pendidikan anak dan juga berkenaan masalah infrastruktur seperti kerosakan jalan, masjid, surau dan perparitan.

“Kerajaan Pahang akan segera berusaha sebaik mungkin membantu. YAB Menteri Besar juga sering menekankan perkara ini demi memastikan rakyat Negeri Pahang dapat pembelaan sewajarnya dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA