Fikiran manusia cukup mudah untuk tenggelam dalam perkara-perkara negatif apabila kesusahan menimpa, contohnya dalam hal berkaitan rezeki. Rasa tidak ada lagi ruang untuk mencari wang lebih, peluang tidak akan datang lagi, tidak mahu berbuat apa-apa dan 1001 rasa lagi.
“Senang la, kau tak ada dekat tempat aku. Kau tak rasa apa yang aku rasa.”
Mungkin kita tidak dapat benar-benar memahami apa yang sedang dilalui dan dirasai oleh jiwa masing-masing.
Namun sebagai seorang Islam, kita meyakini bahawa rezeki itu ditentukan oleh Allah, dalam masa sama bergantung juga asbabnya kepada dua perkara. Pertama adalah usaha. Kedua adalah sangka baik.
Mengapa saya mengatakan ia bergantung kepada kedua-dua perkara ini?
Kerana kita telah diberikan kudrat dan tenaga oleh Allah untuk berbuat sesuatu. Allah tidak akan mensia-siakan sesiapa yang berusaha. Pasti akan diberi jua balasan sesuai dengan apa yang dikerjakan.
Namun, usaha sahaja tidak cukup. Dalam berusaha, kita juga perlu mendidik hati untuk bersangka baik. Bukankah Allah sudah berkata bahawa Dia mengikut sangkaan hamba-hambaNya. Jika kita menyangka bahawa rezeki susah untuk sampai kepada kita, maka susahlah ia untuk sampai. Jika berfikir rezeki mudah sampai kepada kita, maka sudah tentu Allah akan melorongkan kemudahan untuk rezeki sampai kepada kita.
Jika kita melihat orang yang berjaya dalam hidup serta mendapat nikmat harta yang banyak, tidakkah terdetik di hati kita, mungkin mereka dikurniakan rezeki sebegitu kerana selalu bersangka baik kepada Allah. Mereka yakin jika mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam hidup, Allah akan memberikan rezeki yang mereka mahukan.
Mereka bukan tidak diuji dengan kesusahan, namun mereka yakin bahawa kesusahan itu boleh diatasi jika benar-benar berusaha.
“…Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan…” (Surah Al-Baqarah 2:245)
Ditambah lagi dengan tawakkal yang dipasakkan dalam hati, maka tidak ada lagi perkara yang membuatkan hati mereka resah. Perhatikan apa yang Allah sebutkan dalam surah At-Talaq, ayat 3 di bawah;
“…Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)…”
(Surah At-Talaq 65:3)
Perihal rezeki ini kadang-kadang misteri. Ada yang perlu berusaha keras barulah memperolehi apa yang diingini. Ada mereka yang kelihatan sedikit berusaha namun mendapat rezeki dengan mudah. Anggaplah itu adalah rahmat daripada Allah mungkin kerana kebaikan-kebaikan lain yang tidak kita ketahui. Tidak perlu rasa iri hati atau dengki. Kita hanya perlu fokuskan kepada usaha dan baik sangka kita sahaja. Allah jua lah yang menyediakan rezeki cukup buat manusia kesemuanya.
Sumber: TZKRH.COM